DANIEL Cormier berjaya mempertahankan takhta heavyweight yang dimilikinya selepas mengalahkan Derrick Lewis pada aksi UFC 230, sebentar tadi.

Juara dunia UFC dua divisyen dari Amerika Syarikat itu menundukkan rakan senegaranya menerusi ‘submission’ (kuncian) ‘rear naked choke’ pada pusingan kedua.

Cormier, 39 tahun, menjatuhkan lawannya sejurus bermulanya pusingan pertama sekaligus mendominasi pertarungan tersebut.

Pada pusingan kedua, Cormier sekali menjatuhkan Lewis, di mana pertarungan kemudiannya dibawa ke ‘ground’ sebelum mengunci leher dan badan Lewis dari belakang, memaksa lawannya itu menyerah kalah.

Kemenangan ini melebarkan lagi rekod professional seni bela diri campuran (MMA) Cormier kepada 22-1.

Sementara itu, penonton di Madison Square Garden, New York dikejutkan dengan kekalahan jaguh ‘favourite’ Amerika Syarikat Chris Weidman kepada petarung Brazil, Ronaldo Souza menerusi knock out teknikal (TKO).

Souza berjaya merebahkan Weidman menerusi tumbukan tangan kanannya. - Foto AP

Meskipun kedua-dua petarung merupakan pakar dalam permainan ‘ground’ dan jiu-jitsu, bagaimanapun pertarungan ini menyaksikan mereka bertarung secara ‘stand-up’ (berdiri).

Kedua-dua jaguh dilihat amat berhati-hati sepanjang pusingan pertama dan kedua, namun pada penghujung pusingan ketiga, Souza berjaya merebahkan Weidman menerusi tumbukan tangan kanannya.

Ia disusuli pula dengan beberapa tumbukan ‘hammerfist’ ke bahagian muka dan kepala Weidman sehingga pengadil terpaksa menghentikan pertarungan.

Dengan keputusan itu, Souza kini mempunyai rekod kemenangan 26-6.