Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Sukan

UFC 250: Amanda Nunes tumpaskan Felicia Spencer, kekalkan kejuaraan featherweight

UFC 250: Amanda Nunes tumpaskan Felicia Spencer, kekalkan kejuaraan featherweight
Nunes kini mempunyai rekod profesional sebanyak 20 kemenangan dan empat kekalahan. - Foto Twitter/@UFC
AMANDA Nunes berjaya mengekalkan kejuaraan dunia yang disandangnya selepas menewaskan Felicia Spencer dalam aksi UFC 250, di Las Vegas, pada Ahad.

Jaguh dari Brazil itu menumpaskan lawannya dari Kanada menerusi keputusan sebulat suara juri selepas lima pusingan untuk pertarungan featherweight UFC.

Pertarungan bermula sengit untuk kedua-dua atlet, dengan Spencer banyak melakukan serangan di awal pusingan.

Namun Nunes tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak. Pada pusingan kedua, Nunes mula mempamerkan kemahiran jiujitsu-nya dengan cubaan untuk membuat kuncian dari sisi.
Dia seterusnya melepaskan serangan siku ke arah Spencer, mengakibatkan pendarahan di bahagian dahi lawannya itu.

Pusingan kedua dan ketiga menyaksikan Spencer seakan sudah mula kehabisan tenaga, sementara Nunes masih mengekalkan momentumnya.
Serangan demi serangan dilancarkan oleh Nunes, diikuti satu lagi cubaan untuk membuat kuncian dari belakang namun diselamatkan oleh bunyi buzzer penamat pusingan.

Pusingan kelima menyaksikan Spencer terus diasak oleh Nunes, serta pendarahan di dahinya semakin teruk sehingga pengadil Herb Dean terpaksa menghentikan perlawanan seketika supaya doktor dapat memeriksa keadaan Spencer.

Pertarungan diteruskan hingga ke minit akhir dan apabila keputusan diumumkan, ketiga-tiga juri memberikan markah 50-44, 50-44, 50-45 yang sekali gus memihak kepada Nunes.

Pengadil Herb Dean seterusnya mengisytiharkan Nunes sebagai pemenang.

Dengan kemenangan tersebut, Nunes menjadi juara berganda UFC pertama yang berjaya mempertahankan kedua-dua kejuraannya dalam waktu yang sama.

Nunes turut memegang kejuaraan dunia UFC untuk divisyen bantamweight wanita dan merupakan petarung wanita pertama yang memegang takhta kejuaraan dari dua division.

Dia meraih gelaran featherweight selepas menewaskan Cris Cyborg dalam aksi UFC 232 hampir dua tahun lalu.

Selain Cyborg, Nunes sebelum ini pernah mengalahkan beberapa jaguh hebat seperti Ronda Rousey, Valentina Shevchenko dan Miesha Tate.

Dia kini mempunyai rekod profesional sebanyak 20 kemenangan dan empat kekalahan.



Tag: UFC 250, Amanda Nunes, Felicia Spencer, UFC, MMA, Herb Dean, Brazil, Las Vegas, Kanada, featherweight



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.