ORGANISASI seni bela diri campuran (MMA) terkemuka dunia, UFC mengumumkan pelancaran UFC Performance Institute atau Institut Prestasi UFC di Shanghai, China.

Disifatkan sebagai pusat pembangunan dan latihan MMA terbesar di dunia, ia dikatakan hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding pusat latihan mereka di Las Vegas, Amerika Syarikat.

"Kemudahan 93,000 kaki persegi di Shanghai akan berfungsi sebagai hab latihan untuk membangun dan menyokong atlet MMA generasi baru di China dan juga wilayah Asia Pasifik," kata UFC menerusi kenyataan media baru-baru ini.

UFC juga akan menggunakan pusat tersebut sebagai ibu pejabatnya di Asia, perumahan kakitangan UFC dan Institut Prestasi UFC, termasuk pakar dalam bidang MMA, latihah kekuatan, sains sukan, terapi fizikal dan pemakanan.

Ciri-ciri tambahan seperti suite perhotelan, kedai makan, perkhidmatan runcit dan ruang bagi peminat turut disediakan.

Fasiliti latihan di Institut Prestasi UFC Shanghai. - Foto UFC

Sementara itu, UFC juga memaklumkan akan menganjurkan acara MMA mereka yang pertama di Shenzen, dan yang ketiga di China dalam tiga tahun.

Acara UFC Fight Night: Andrade vs Zhang yang dipersembahkan oleh AirAsia itu akan diadakan Universiade Sports Centre dan bakal menjadi pertarungan kejuaraan UFC pertama di negara itu.

Andrade (26-6) berjaya merampas gelaran strawweight wanita selepas menundukkan juara bertahan, Rose Namajunas dalam aksi UFC 237 di Rio de Janeiro, pada 12 Mei lalu.

BACA: UFC: Jessica Andrade rampas takhta strawweight, dua lagenda Brazil tumpas

Petarung Brazil berusia 27 tahun itu menumpaskan lawannya dari Amerika Syarikat menerusi ‘knockout’ pada minit 2.58 pusingan kedua.

Lawannya, Weili Zhang pula merupakan petarung UFC ranking tertinggi di China dengan rekod kemenangan 16-1.