BEKAS pencabar kejuaraan heavyweight UFC, Francis Ngannou, 32 tahun sekali lagi beraksi cemerlang di pentas Octagon.

Dalam masa seminit 11 saat sahaja, Ngannou berjaya mengalahkan lawannya Junior dos Santos, 35 tahun pada acara UFC on ESPN 3 di Minneapolis, Amerika Syarikat yang berlangsung sebentar tadi.

Pertarungan bermula pantas apabila kedua-kedua petarung saling bertukar tendangan. Pada awalnya Santos berjaya menjatuhkan Ngannou melalui tendangan padu ke arah kaki Ngannou.

Namun Ngannou berjaya bangkit kembali untuk meneruskan pertarungan.

Saling bertukar tumbukan, Ngannou akhirnya berjaya menjatuhkan Santos.

Tidak membuang masa, Ngannou terus menghujani Santos dengan tumbukan yang bertubi-tubi.

Santos gagal bangkit kerana terkesan dengan tumbukan Ngannou.

Ini sekali gus memaksa pengadil menghentikan pertarungan dan memberi kemenangan kepada Ngannou melalui cara TKO.

Dengan kemenangan ini, 'The Predator' yang memegang rekod MMA 14-3, dilihat bakal bertarung sekali lagi dalam pertarungan merebut kejuaraan.

Semasa sesi temu ramah selepas pertarungan, Ngannou yang berasal dari Cameroon sekali lagi menyatakan hasratnya untuk bertarungan dengan pemenang bagi pertarungan antara Cormier dan Miocic.

Dalam acara yang sama, pertarungan 'co-main event' pula menyaksikan pertarungan bagi divisyen flyweight antara Joseph Benavidez dan Jussier Formiga.

Kemenangan memihak kepada Benavidez apabila dia berjaya menundukkan lawannya menerusi TKO pada pusingan kedua. Ini merupakan kemenangan ketiga berturut-turut bagi Benavidez.

Sekali lagi, Benavidez juga tidak melepaskan peluang memanggil juara flyweight, Henry Cejudo untuk bertarung dengannya bagi merebut kejuaraan.

Cejudo yang juga juara bagi divisyen bantamweight kini sedang berehat selepas menjalani pembedahan bahu.

Dia dijangka boleh kembali beraksi seawal tahun depan.