Anugerah Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) 2019 menjadi milik pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk.

Walaupun pengumuman rasmi akan dibuat Jumaat ini, Daily Mail mendedahkan keputusan itu pada Rabu bahawa van Dijk dipilih oleh majoriti para pemain profesional atas persembahan cemerlangnya sebagai tonggak pertahanan terbaik Liga Perdana musim ini.

Di bawah kepimpinan pemain tinggi lampai berusia 27 tahun itu, Liverpool hanya kalah sekali dalam liga dan mencatat 18 permainan tanpa bolos.

Pemain Belanda itu bersama lima lagi finalis untuk anugerah tertinggi individu bola sepak Inggeris iaitu rakan sepasukan Sadio Mane, dan barisan penggempur Manchester City diwakili Raheem Sterling, Sergio Aguero, Bernardo Silva dan tonggak Chelsea, Eden Hazard.

Barisan Kesebelasan Utama Terbaik PFA 2019 menyaksikan Hazard satu-satunya pemain dalam senarai enam finalis Pemain Terbaik Tahunan yang tercicir. - Grafik AWANI

Ketika semuanya disenarai sebagai pasukan terbaik PFA tahun ini yang, nama Hazard tercicir daripada kesebelasan utama itu dan mengejutkan apabila melihat Paul Pogba ada dalam senarai tersebut meskipun persembahan kurang konsistennya untuk Manchester United.

Pogba menjadi satu-satunya pemain bukan Liverpool dan Manchester City, memperlihatkan dominasi kedua-dua kelab itu dalam merebut gelaran juara Liga Perdana musim ini.

Liverpool diwakili empat pemain, bersama Virgil adalah pemain muda, Trent Alexander-Arnold dan kapten Scotland, Andy Robertson serta Sadio Mane di bahagian serangan; sementara enam pemain City menguasai padang iaitu Raheem Sterling, Sergio Aguero, Bernardo Silva, Fernandinho, Aymeric Laporte dan penjaga gol, Ederson.

Ini juga buat kali pertama dalam sejarah 45 tahun anugerah tersebut menyaksikan senarai kesebelasan utama itu dibentuk daripada pemain dari hanya tiga kelab.

Kemenangan van Dijk bererti anugerah tersebut kekal bersama Liverpool, selepas ia dirangkul oleh sensasi Mesir, Mohamad Salah tahun lepas.

Majlis gala Anugerah PFA akan berlangsung di London pada Ahad ini.