Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen, mengesahkan skuad terjun hanya akan berlatih di Kuala Lumpur menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mereka terpaksa pulang daripada kem latihan di China ekoran wabak Coronavirus.

Skuad terjun kebangsaan jelas sangat terkesan selepas tidak dapat meneruskan kem latihan di China sebagai persiapan ke Tokyo 2020 apabila ASUM mengesahkan tiada perancangan lanjut buat mereka.

Setakat ini, hanya Leong Mun Yee dan Pandelela Rinong akan terbang ke Kanada bagi menghadapi Kejohanan Siri Terjun Dunia yang akan bermula 28 Februari ini.

Penerjun lain akan ke Tokyo untuk saingan Piala Dunia FINA, April depan yang menawarkan tiket terakhir ke Olimpik.

"Mereka sekarang tidak boleh ke China, jadi akan berlatih di Kuala Lumpur. Segalanya berjalan seperti biasa, tidak sebarang perubahan. Pandelela dan Mun Yee akan ke Kanada hujung bulan ini, jadi tiada kejohanan lain sehingga Piala Dunia," katanya ketika ditemui wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifli.