Kerajaan disaran mewujudkan akademi untuk memberi pendedahan kepada rakyat negara ini tentang perlumbaan Formula Satu (F1).

Pengedar rasmi barangan F1 Malaysia, K.S. Param berkata, ia sekali gus membuka peluang kepada rakyat negara ini untuk mengenali sukan itu dengan lebih mendalam.

"Kalau kita sebut F1 sekarang, ramai yang tidak tahu di mana permulaannya dan apa pembelajaran yang boleh kita perolehi. Kerajaan harus menyediakan geran, lokasi dan kemudahan untuk memastikan akademi ini menjadi realiti.

"Saya seorang yang fanatik dalam F1. Saya lihat kewujudan akademi F1 akan memberi akses kepada rakyat untuk dapat lebih pendedahan mengenai sukan ini.

"Sekarang memang banyak akademi berkaitan namun ia diselia sepenuhnya badan korporat atau orang persendirian sahaja," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.

Malaysia akan menjadi tuan rumah pusingan ke-16 Grand Prix F1 di Litar Sepang pada 30 Sept hingga 2 Okt ini.

Sejak 2001, Malaysia menganjurkan perlumbaan grand prix itu di awal musim perlumbaan dan tahun ini merupakan kali pertama ia dipilih menganjurkan pusingan ke-16 iaitu kelima terakhir sebelum lengkap 21 pusingan perlumbaan musim 2016 ini.

Dalam pada itu kata K.S. Param, rakyat harus segera mengubah persepsi sukan itu yang hanya dipelopori golongan kaya.

"Ramai yang ingat F1 adalah untuk jutawan, namun harus disedari berapa ramai jutawan di negara kita?

"Ia harus menjadi sukan golongan pertengahan dan akan dapat direalisasi dengan kewujudan akademi ini.

"Dengan akademi ini, pelajarnya akan mendapat akses mudah untuk berlatih dan menggunakan trek sekali gus membuka peluang negara melahirkan bintang perlumbaan F1 baharu," ujarnya.

Jelasnya, akademi itu juga boleh berkolaborasi dengan universiti serta kolej tempatan untuk pendedahan mengenai F1.

"Ia harus ke universiti-universiti dan buat program berkaitan yang menimbulkan minat pelajar.

"Seandainya pelajar akademi itu tidak menjadi pelumba sekalipun, dia sudah mempunyai pengetahuan fasa demi fasa di dalam F1," katanya.