Berita  | Sukan

Yusri Che Lah mahu pemain kekal beri tumpuan

Yusri Che Lah mahu pemain kekal beri tumpuan
YUSRI: Tugas saya serta pemain adalah berusaha sedaya mampu untuk memperoleh mata kemenangan pada perlawanan seterusnya.
KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan Yusri Che Lah mahu pemainnya kekal memberikan tumpuan pada baki perlawanan Liga Premier walaupun pasukan itu semalam dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan.

Yusri berkata beliau dan rata-rata pemain hanya mengetahui perkara tersebut melalui media sosial dan tidak mahu pemainnya hilang tumpuan pada baki perlawanan selepas ini untuk memperoleh mata bagi menyelamatkan pasukan daripada disingkirkan ke bawah liga.

"Saya tidak mempunyai maklumat secara langsung berhubung perkara ini, jadi saya tidak mahu mengeluarkan apa-apa kenyataan lanjut dan tugas saya serta pemain adalah berusaha sedaya mampu untuk memperoleh mata kemenangan pada perlawanan seterusnya.

"Tidak adil untuk saya mengulas perkara itu (peletakan jawatan)," katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) ll di Stadium Sultan Muhammad lV, malam tadi.
Semalam, Bibi Ramjani membuat pengumuman meletakkan jawatan sebagai presiden persatuan terbabit menerusi Facebook miliknya.

Mengulas perlawanan itu, Yusri berkata kemampuan pasukannya mencuri mata bertemu dengan JDT ll sesuatu keputusan yang boleh dibanggakan dalam keadaan pasukannya itu yang serba kekurangan.

"Kami hanya mempunyai seorang pemain import itu pun bukan 100 peratus cergas berbanding dengan pasukan JDT ll yang dibarisi oleh pemain import yang berkualiti dan pemain tempatan yang berpengalaman.

"Walaupun tertekan, namun alhamdulillah kami memperoleh mata dalam keadaan kritikal selepas lapan perlawanan terakhir sebelum ini pasukan masih belum mendapat kemenangan," katanya.

Katanya sebagai jurulatih, beliau amat merindui pemain berpengalaman memperkuatkan pasukannya memandangkan pasukan terbabit musim ini rata-rata dibarisi oleh pemain muda.

"Kami kekurangan pemain berpengalaman dalam pasukan saya, kami memerlukan pemain berpengalaman yang dapat mengimbangi pemain muda sedia ada," katanya.

Pada perlawanan itu, Kelantan berjaya mengikat pasukan pelawat dengan jaringan 1-1 walaupun dikejutkan dengan jaringan awal pasukan JDT ll pada minit kelima perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh pemain import Muhamad Ghaddar. Kelantan menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohamad Azawan Mohd Aripin pada minit ke-55 perlawanan.

-- BERNAMA

Tag: jurulatih kelantan, yusri che lah, liga premier, bola sepak, presiden kafa, bibi ramjani ilias khan, skuad kelantan, the red warriors


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.