Tutup

Berita  | Sukan

Zamarul rangkul gelaran Mr Malaysia 2019

Zamarul rangkul gelaran Mr Malaysia 2019
Zamarul, 28, merupakan yang terbaik antara sembilan juara kategori pada akhir kejohanan yang dianjurkan Persatuan Bina Badan Malaysia. - Foto: Instagram TegapTV Malaysia
KOTA KINABALU: Lans Koperal Zamarul Al Adam Pulutan Abdulah merangkul gelaran Mr Malaysia 2019, pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan di Sabah, hari ini.

Zamarul, 28, merupakan yang terbaik antara sembilan juara kategori pada akhir kejohanan yang dianjurkan Persatuan Bina Badan Malaysia.
Terdahulu anak kelahiran Nabawan, Sabah yang mewakili pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu memenangi kategori light Welterweight yang melayakkannya ke pertandingan 'Juara Antara Juara' kejohanan bina badan berkenaan berkenaan.

Bercakap kepada pemberita selepas kejohanan itu, Zamarul berkata ia adalah kali kedua beliau merangkul gelaran berkenaan selepas kejohanan itu pada 2017, namun telah tiga kali muncul juara secara berturut-turut dalam kategori Welterweight.
"Saya telah terlibat dalam sukan ini sejak 2013 dan bekerja keras untuk melayakkan diri ke kejohanan ini dan saya sangat gembira kerana sekali lagi berjaya merangkul gelaran Mr Malaysia," katanya.

Beliau berkata bukan perjalanan yang mudah untuk mencapai sehingga peringkat itu, kerana perlu mengeluarkan banyak wang untuk menanggung perbelanjaan terutama makanan dan makanan tambahan.

"Bagaimanapun saya cukup berterima kasih dengan sokongan yang diberikan rakan-rakan dan keluarga, khususnya kepada isteri saya Zmazanriah Hanum Madin yang tidak pernah putus asa membantu saya.

"Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Gazali Yunus yang merupakan jurulatih saya, kerana tidak pernah gagal mengingatkan dan membimbing saya dalam menjalani latihan setiap hari," katanya.

Seramai 130 atlet mewakili 14 kontinjen negeri dan dua badan beruniform iaitu PDRM, dan Angkatan Tentera Malaysia, berentap bagi merebut gelaran Mr Malaysia 2019 pada Kejohanan Bina Badan Kebangsaan ke-50 itu, yang bermula Khamis lepas sehingga hari ini.

-- BERNAMA


Tag: Zamarul Al Adam Pulutan Abdulah, mr malaysia 2019, Kejohanan Bina Badan Kebangsaan, sabah, bina badan, sukan, pdrm



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.