PELUMBA pasukan Honda Asia Dream Racing, Zaqhwan Zaidi, masih belum sedia mengibar bendera putih apabila menaruh harapan untuk beraksi kemungkinan juga satu-satunya perlumbaan antarabangsa disertainya tahun ini, iaitu perlumbaan Endurance 8 Jam Suzuka, Jepun hujung tahun ini.

Kalendar perlumbaan motorsikal tahun ini menjadi samar, baik di peringkat tempatan seperti saingan Cub Prix termasuklah Kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) yang masih belum mengeluarkan jadual baru gara-gara penularan wabak COVID-19.

Namun ia tidak bermakna Zaqhwan tidak mempunyai sebarang sasaran untuk dikejar apabila Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) telah pun mengeluarkan jadual baru, dengan perlumbaan di Jepun itu ditunda pada November 2020.

Ia memberi kelegaan buat Zaqhwan yang memburu penampilan kelimanya dalam saingan ini, dengan pencapaian terbaik pernah diraih pelumba dari Selangor itu adalah menduduki tangga kelapan pada 2016.

"Saingan Endurance Lapan Jam masih lagi diteruskan dalam jadual yang dikeluarkan FIM. Buat masa ini, ia telah ditunda ke hujung tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, senarai penuh dua lagi pelumba yang akan menyertainya masih belum dapat diketahui.

Dalam masa sama, Zaqhwan turut melahirkan rasa bersyukur kerana dapat bersama keluarga tahun ini beraya di tanah air, setelah empat tahun sebelum ini berada di perantauan menyertai perlumbaan.

"Saya berasa ini adalah peluang terbaik kerana telah berjauhan dengan keluarga bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tetapi situasi COVID-19 membenarkan saya bersama keluarga menyambut perayaan ini."