ZINEDINE Zidane berharap Eden Hazard akan terus meningkatkan prestasi selepas mempamerkan aksi cemerlang menghasilkan gol sulung buat Real Madrid ketika menewaskan Granada 4-2, semalam.

Hazard membuka akaun jaringan dengan lambungan cantik dalam babak pertama dalam pertemuan dua kelab teratas di Santiago Bernabeu, menggandakan kelebihan Real setelah Karim Benzema meletakkan pasukannya di depan selepas dua minit permainan.

Dia turut membuka ruang buat Luka Modric untuk menjaringkan gol selepas sejam permainan tetapi tuan rumah membiarkan pelawat bangkit susulan tindakan Alphonse Areola menjatuhkan Carlos Fernandez dan Darwin Machis tenang menyempurnakan sepakan penalti.

Domingues Duarte merapatkan jurang dari jarak dekat ketika aksi berbaki 13 minit, hanya untuk membolehkan James Rodriguez mengesahkan kemenangan berbekalkan kelebihan empat mata di puncak liga.

Hazard mempamerkan persembahan meyakinkan buat Zidane selepas bekas penggempur Chelsea itu gagal menyumbat atau membantu sebarang gol dalam lima aksi pertama.

"Kami perlu melihat Hazard seperti ini, beraksi cemerlang dan menjaringkan gol," katanya.

"Dia mahukannya dan gembira di dalam bilik persalinan. Kami harap ia permulaan kepada lebih banyak gol."

Skuad kendalian Zidane itu melepaskan pendahuluan selesa dan hampir dipaksa berhempas-pulas seperti ketika menundukkan Levante 3-2, bulan lalu.

"Kami tidak patut membandingkan dengan perlawanan menentang Levante," tambah pengendali dari Perancis itu.

"Granada menduduki tangga kedua liga. Jika anda membiarkan mereka kembali dalam permainan, kami melalui 10-15 minit yang sukar. Namun, kami masih mengawal perlawanan dalam babak kedua dan menjaringkan empat gol.

"Kami lebih bagus berbanding bulan lalu. Setiap pemain yang beraksi telah memainkan peranan. Namun, saya mahukan lebih lagi dan kami akan beraksi lebih baik.

"Kami pentingkan kesempurnaan tetapi ia tidak mudah. Ia bukan perlawanan mudah. Anda perlu sentiasa beraksi cemerlang dari minit pertama sehingga ke-90."