ZINEDINE ZIDANE mengakui dia berasa jengkel dengan kegagalan Real Madrid untuk menewaskan Getafe selepas terikat 0-0 dalam aksi LaLiga di Coliseum Alfonso Perez, awal pagi tadi.

Madrid melengkapkan tiga perlawanan di laman lawan tanpa kemenangan ketika gagal memecah kebuntuan jaringan ke atas skuad kendalian Jose Bordalas di mana Karim Benzema hampir menjadi penjaring pelawat.

Keputusan itu, bagaimanapun, dimanfaatkan Getafe untuk kekal di tangga keempat liga walaupun Sevilla membelasah Rayo Vallecano 5-0 dalam perlawanan lebih awal.

Ia bermakna, mereka masih kekal dalam kelompok kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan hanya berbaki empat perlawanan musim ini.

Madrid pula hampir pasti menamatkan musim di tempat ketiga dan sudah boleh menumpukan kepada musim depan, namun Zidane masih mengharapkan aksi menyerang yang lebih baik daripada pasukannya.

"Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol dan kami tidak memanfaatkannya," katanya seperti yang dipetik AS.

"Kami agak jengkel dengan keputusan ini, kami sepatutnya memperoleh yang lebih baik.

"Pemain telah memaparkan aksi baik. Kami amat bagus ketika bertahan dan tidak mahu mengambil risiko.

"Kami hanya tidak menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan ini.

"Kami agak marah kerana tidak memenangi perlawnan.

"Anda mahu melakukan perubahan (dari bangku simpanan) untuk memperbaiki keadaan.

"Mereka tidak mencipta sesuatu seperti yang saya harapkan. Itulah yang sedang berlaku.

"Perkara baik adalah tidak dibolosi. Perkara lain..."

Zidane memilih untuk terus menggunakan Keylor Navas di benteng terakhir walaupun Thibaut Courtois sudah kembali cergas sepenuhnya dan pemain kebangsaan Costa Rica itu memaparkan aksi menyelamat berganda dalam babak kedua untuk menafikan percubaan Jorge Molina dan Jaime Mata.

Bagaimanapun, Zidane tidak mendedahkan penjaga gol mana yang akan diturunkan untuk berdepan Rayo, hujung minggu ini.

"Kedua-duanya akan diaturkan jurulatih.

"Hari ini Keylor beraksi. Selepas ini, kita akan lihat nanti," tambahnya.