PENGENDALI Real Madrid, Zinedine Zidane, menyifatkan bintang Liverpool, Mohamed Salah, sebagai pemain yang dikaguminya.

Salah terus mempamerkan aksi cemerlang di Anfield musim ini, dengan membalas usaha kelab membayar sebanyak GBP42 juta (RM228 juta) untuk membawanya dari Roma dengan mencetak 19 gol dalam 25 perlawanan.

Real tidak mempertingkatkan mutu jentera serangannya sebelum musim bermula dan masih bergelut mendapatkan sentuhan terbaik mereka, dengan kecederaan yang dialami oleh Gareth Bale manakala Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema kurang menemui sentuhan jaringan.

Terdapat laporan pada minggu ini yang menyatakan Los Blancos berminat untuk mendapatkan khidmat Salah, Januari ini, dan Zidane turut mendedahkan pendapatnya mengenai pemain kebangsaan Mesir itu.

"Salah adalah pemain yang berkualiti. Dia telah membuktikannya di Roma dan Liverpool.

"Dia masih muda, meningkatkan mutu permainan setiap hari. Saya tidak selalu bercakap mengenai pemain lain tetapi dia adalah salah seorang pemain yang saya kagumi," katanya.

Pengendali kelahiran Perancis itu turut mempertahankan mutu permainan Benzema, yang masih bergelut menemui sentuhan terbaik.

"Saya tidak bersetuju dengan cara dia dikritik.

"Apa yang penting buat saya bukan hanya jaringan gol. Benzema adalah pemain yang berbeza. Dia tidak akan menjaringkan 50 atau 60 gol tetapi dia telah banyak membantu pasukan.

"Saya menyifatkan Benzema adalah seorang pemain yang mampu bekerjasama dengan rakan sepasukan.

"Saya akan mempertahankannya hingga mati kerana dia tidak memberikan masalah kepada saya," katanya lagi.