Menaiki sebuah kereta yang bergerak tanpa pemandu mungkin sukar dibayangkan, selain agak menakutkan bagi segelintir pengguna.

Namun, pembangunan teknologi kereta tanpa pemandu kini telah menjadi keutamaan bagi syarikat besar dunia seperti Tesla, Google, Apple dan Volvo untuk memajukan sektor automotif.

Di Malaysia sebuah syarikat tempatan, Reka Studios telah mengambil inisiatif membangunkan teknologi ini sejak tahun 2016.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Muhammad Haziq Faris Hasnol, semua itu bermula dengan pengeluaran papan litar Internet of Things (IoT) yang dihasilkan syarikatnya.

"Ketika kami hasilkan papan litar (motherboard) yang dipanggil Rig, ada yang membandingkan teknologi kami dengan teknologi luar negara.

"Kami mahu buktikan kebolehan papan litar kami dan membuat keputusan untuk membangunkan kereta tanpa pemandu menggunakan papan litar Rig.

"Selepas dua bulan, kami berjaya menghasilkan prototaip pertama kereta tanpa pemandu," kata Muhammad Haziq ketika ditemui Astro AWANI.

Tambahnya, menggunakan papan litar bersama sistem pengesanan global (GPS) dan kamera berjaya menghasilkan sebuah Proton Waja sebagai kenderaan tanpa pemandu.

Setakat ini, Reka Studios sudah menghasilkan empat prototaip kereta tanpa pemandu, dan baru-baru ini telah mempamerkan dua prototaip pada Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif 2017 di Bukit Jalil.

Muhammad Haziq percaya syarikatnya mampu melengkapkan teknologi kereta autonomi ini sepenuhnya dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang.

"Setakat ini, saya rasa kami baru 30 peratus bersedia. Kereta tanpa pemandu yang dihasilkan syarikat ini sudah boleh bergerak sendiri dengan menekankan aspek keselamatan serta teknologi," katanya.

Tambahnya, faktor kewangan dan sokongan undang-undang merupakan antara cabaran yang dihadapi syarikat tersebut dalam menghasilkan kenderaan tanpa pemandu.

Beliau yang juga pengasas syarikat itu menjelaskan, kekangan teknologi juga antara cabaran yang dihadapi kerana kebanyakan komponen teknologi perlu ditempah dari luar negara.

"Selain itu, kami berdepan persepsi masyarakat yang mahu melihat teknologi ini dengan cepat tanpa memikirkan proses penyelidikan mengambil masa lama," katanya.

Setakat ini Reka Studios memiliki 10 jurutera serta pelatih di dua pejabat iaitu di Kuala Lumpur dan Melaka.

Selain membangunkan kereta tanpa pemandu, syarikat itu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D), menyediakan perkhidmatan laman web, aplikasi dan produk teknologi serta menyediakan latihan kepada syarikat perniagaan lain.