Apple memberikan bayangan pembaharuan dan perisian baharu yang akan dilancarkan.

Pembaharuan dan perisian ini, menurut Apple, direka bagi memudahkan penggunaan iPhone dan perkakasan lain keluarannya.

Dalam masa yang sama, Apple turut mengumumkan cip baharu keluaran sendiri untuk komputernya.

Perisian baharu iPhone diberi nama iOS 14 dan dilancarkan pada persidangan untuk pengaturcara komputer dan pembangun aplikasi mudah alih Apple pada lewat Isnin.

Namun antara fokus utama adalah cip yang akan dikeluarkan sendiri Apple yang diberi nama Apple Silicon.

Ini adalah peralihan daripada penggunaan cip Intel dalam komputernya dalam masa dua tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata ini akan memudahkan aplikasi di iPhone dan iPad dibangunkan dan digunakan dengan komputernya.

“Kami mengumumkan komputer Mac kami akan beralih menggunakan cip Apple Silicon.

"Kami membuat perubahan ini atas satu sebab. Supaya kami boleh hasilkan produk yang baik.

"Di masa depan, kami jangkakan pelbagai produk baharu dan peralihan kepada cip Silicon kami akan membantu menjadikannya realiti,” katanya.

Cip baharu ini dijangka memberikan kesan kewangan kepada Intel.

Menurut penganalisis Evercore, Intel menjual cip bernilai AS$3.4 billion setiap tahun kepada Apple untuk komputernya.

Ini adalah sekitar lima peratus daripada jualan tahunan Intel.

Pengarah Apple Untuk Kejuruteraan dan Sains Data Siri, Yael Garten berkata, aplikasi baharu yang dinamakan "Translate" juga akan dilancarkan.

“Kami akan melancarkan aplikasi baru diberi nama 'Translate'.

"Saya boleh berbual dalam bahasa Mandarin dan orang lain boleh berbual bahasa Rusia. Cuma sentuh mikrofon dan tanya 'Pukul berapa kedai anda akan dibuka?'"

Sementara itu, Jurutera Pengalaman Apple Car, Emily Schubert berkata selepas ini pengguna boleh meninggalkan kunci kereta di rumah dan menghidupkan kenderaan dengan iPhone.

“Kereta pertama yang akan boleh menggunakan produk ini adalah BMW 5 series 2021.

"Kunci digital ada manfaat keselamatan. Ia disimpan dalam bahagian keselamatan pada iPhone anda. Jika iPhone anda hilang, anda boleh matikan kunci menggunakan iCloud,” ujarnya.

Naib Presiden Teknologi Apple, Kevin Lynch pula berkata pendekatan yang digunakan adalah menggunakan pembelajaran mesin untuk menentukan gerakan membasuh tangan.

“Kami akan gunakan audio untuk mengenalpasti bunyi anda menekan sabun dan bunyi air.

“Anda akan dibantu untuk memastikan tangan anda bersih. Akan ada kiraan dan arahan untuk pastikan anda membasuh mengikut masa yang ditetapkan,” katanya.

Apple mengumumkan penambahbaikan dan perisian baharu itu menerusi sidang video.

Namun Apple tidak memberikan sebarang bayangan tentang kesan COVID-19 kepada rantaian bekalan pengeluaran produk Apple.

Apple selalunya akan mengumumkan produk baharu pada minggu pertama September sebelum menjualnya pada hujung September.