Syarikat dan pengimport teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) perlu bekerjasama dengan badan kawal selia bagi memastikan produk mereka adalah baik untuk digunakan di Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata syarikat-syarikat ICT harus ingat tentang keperluan teknikal yang akan diterima pakai di Malaysia, semasa membawa masuk teknologi dan produk terkini untuk digunakan rakyat Malaysia.

Bercakap pada Pameran Perusahaan Perniagaan Samsung Galaxy Note 7 di sini pada Khamis, Salleh memberi contoh kepada produk yang dipamerkan hari ini yang mungkin menggunakan jalur frekuensi yang ditentukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang berbeza daripada jalur di negara asal.

Bagi para pengguna, beliau menasihatkan mereka supaya memastikan peralatan mereka mendapat kelulusan sewajarnya.

"...boleh menyelamatkan anda daripada sakit kepala yang mungkin berlaku jika sesuatu terjadi kepada peralatan yang dibawa masuk secara tidak sah dan begitu juga bagi mereka yang gagal mematuhi keperluan teknikal yang ditetapkan badan kawal selia," katanya.

Salleh juga menggesa syarikat-syarikat ICT supaya meletakkan langkah-langkah keselamatan bagi perlindungan data di atas segala-galanya apabila mengeluarkan dan memasarkan produk mereka.

"Ketika teknologi mempengaruhi kehidupan kita pada kelajuan yang hebat, begitu juga dengan bahaya yang kita dedahkan ke atas kita apabila kita terus berpaut dengan teknologi.

"Tidak perlu dikatakan bahawa keselamatan mudah alih begitu penting supaya data peribadi dan profesional yang disimpan selamat dan terjamin," katanya.

Pameran anjuran Samsung Malaysia Electronics, lengkap dengan penyelesaian Pejabat Pintar yang memberi peluang kepada anggota media, profesional perniagaan dan pegawai kerajaan untuk meneroka pelbagai penyelesaian urusan yang ditawarkan oleh inovasi mudah alih terbaru yang berjenama.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad, presiden Samsung Malaysia Electronics Lee Sang Hoon dan naib presiden bagi Unit Mudah Alih dan Perniagaan IT Samsung Malaysia Electronics Lee Jui Siang.