CES 2019: LG sah pasarkan telefon 5G, juga perkenalkan TV 8K boleh lipat

CES 2019: LG sah pasarkan telefon 5G, juga perkenalkan TV 8K boleh lipat
LG mula bersaing secara agresif dengan lawan mereka, terutamanya Samsung dalam industri teknologi pengguna / Foto: Astro AWANI/Ibrahim Sani
LAS VEGAS: Syarikat teknologi Korea Selatan – LG – telah mengejutkan pasaran dengan pelancaran TV 8K yang boleh digulung.

LG Electronics telah mempamerkan produk ini di CES 2019, iaitu pameran teknologi pengguna terbesar di dunia.

Produk LG Signature OLED TV R boleh digulung masuk ke dalam kasing TV itu, yang juga merupakan pembesar suara Dolby Atmos.
Ini merupakan produk yang pertama di dunia yang menyaksikan mana-mana TV boleh digulung masuk ke dalam sebuah bekas.

TV ini, yang juga diberikan nama ‘TV kertas dinding’ memberi pengkhususan terperinci terhadap penggunaan TV secara ‘lifestyle’. Skrinnya boleh digulung penuh, digulung separa, atau dibuka penuh.

Ia menggunakan teknologi revolusi terbaharu dan boleh digunapakai dengan Google Assistant, Amazon Alexa, atau Apple AirPlay dan Apple HomeKit.

Apabila dibuka penuh, ia adalah 65 inci.

Ini adalah antara produk-produk yang didatangkan oleh LG dalam CES 2019.

Selain itu, LG juga mengumumkan bahawa mereka akan mengeluarkan dan memasarkan produk telefon pintar 5G komersil yang pertama di dunia.

Namun begitu, perincian tentang telefon 5G ini masih belum dikenalpasti buat masa kini.

Buat pertama kalinya, Astro AWANI memberi liputan secara langsung di CES 2019 di Las Vegas. Ikuti segala perkembangan CES 2019 bersama Editor Bisnes Astro AWANI melalui laman sosial beliau @ibrahimsaninet