KETIKA ini, seluruh dunia sedang dilanda kegilaan permainan aplikasi Pokemon GO.

Bukan pemandangan pelik apabila melihat anak-anak muda di luar rumah dengan telefon pintar di tangan, mencari watak animasi itu di merata kawasan.

Namun, bagi seorang pemain, dia tidak melihat Pokemon GO sebagai permainan semata-mata, sebaliknya salah satu cara untuk dia mengekspresikan kreativiti.

Joe Murayama, seorang pereka kesan khas dari Los Angeles, memuat naik sebuah video di akaun YouTube miliknya, berlatar belakangkan permainan popular itu.

Apa yang menarik perhatian netizen adalah idea dan konsep video berkenaan.

Ia menceritakan bagaimana seorang pemain Pokemon GO yang obses dan akhirnya berjaya menangkap watak Pikachu.

Namun kegembiraan si pemain bertukar apabila Pikachu berjaya melepaskan diri dan membalas dendam.

Pikachu turut dibantu satu lagi watak Pokemon iaitu Charizard.

Video itu berakhir dengan si pemain terperangkap di dalam Pokeball.

Dalam temuramah bersama portal The Huffington Post, Murayama memberitahu dia sudah lama berhasrat membuat drama pendek berkisarkan Pokemon, namun tidak mempunyai idea yang bersesuaian.

Demam Pokemon GO bagaimanapun berjaya menyuntik idea untuknya menerbitkan klip pendek itu.

"Agak menggelikan hati apabila situasi itu diterbalikkan; manusia pula diburu Pokemon," katanya.

Dia menganggap idea melakar situasi songsang di mana manusia pula diburu Pokemon sebagai sesuatu yang menggelikan hati.

YouTube: Joe Murayama