Ekonomi Digital: Pelantikan Jack Ma janjikan perubahan besar pada Malaysia - Ka Siong

Ekonomi Digital: Pelantikan Jack Ma janjikan perubahan besar pada Malaysia - Ka Siong
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma di Beijing pada 4 Nov lalu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia harus bersedia untuk perubahan yang besar pada tahun depan berikutan pelatikan pengasas Alibaba, Jack Ma sebagai Penasihat Ekonomi Digital negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong.

Katanya, Malaysia akan menjadi perintis dalam penubuhan Zon Perdagangan Bebas Digital, yang sedang diusahakan oleh kerajaan.

"Kami sedang melihat ke dalam insentif-insentif, bantuan yang diperlukan dan keseluruhan hala tuju Zon Perdagangan Bebas Digital.

"Dengan ini, magnitud komitmen kerajaan untuk meningkatkan ekonomi digital Malaysia adalah sangat jelas," katanya kepada pemberita semasa majlis penutupan Forum Ekonomi Digital 2016 di sini hari ini.

Beliau ketika bercakap mengenai, lonjakan pelaburan China di Malaysia berkata komitmen antara kedua-dua negara ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia, tetapi juga jirannya di ASEAN, khususnya dalam projek kabel bawah laut antarabangsa.

"Malaysia sedang bekerjasama dengan negara-negara jiran ASEAN seperti Kemboja, Thailand, Indonesia dan Singapura untuk meningkatkan sambungan kabel dasar laut Intra-ASEAN termasuk sambungan dari rantau ini ke Wilayah Amerika Utara," katanya.

Katanya, kajian daripada Google mendapati dua pertiga daripada responden sanggup untuk membeli barangan dan perkhidmatan seperti kasut, tiket kapal terbang termasuk perkhidmatan teksi melalui aplikasi telefon pintar.
Wee berkata China menerajui kajian tersebut di mana 89 peratus daripada mereka mengikuti aliran baharu ini, diikuti oleh India (86 peratus), Vietnam (82 peratus), Korea Selatan (78 peratus), Thailand (78 peratus), Malaysia (69 peratus) dan Singapura (69 peratus).

"Perusahaan kecil dan sederhana perlu mengambil perhatian kepada perkara ini dalam usaha untuk membina kempen pemasaran dan jualan yang lebih berkesan," katanya. -- Bernama