Pasaran telefon pintar di China bakal menyaksikan persaingan sengit gergasi teknologi Amerika Syarikat Apple Inc dan Huawei Technologies Co dari China dengan Samsung Electronics Co, susulan langkah syarikat itu yang akan memulakan jualan bagi produk meganya terbaru tidak lama lagi, menurut sumber lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Huawei telah memulakan penjualan telefon pintar model P10 di China pada Sabtu. P10 adalah pengganti kepada P9 mega-hit yang mencapai jualan 10 juta unit tahun lepas.

Telefon pintar teknologi tinggi itu dilengkapi kamera yang dibangunkan bersama dengan Leica Camera Jerman.

Selain itu, Apple juga merancang memperkenalkan iPhone 7 edisi khas ekslusif berwarna merah.

Setakat ini, pada hari pertama model itu telah menerima tempahan awal sebanyak 270,000 dan menurut pemerhati industri warna merah dan emas amat popular di China.

Samsung yang memperkenalkan telefon pintar Galaxy S8 dan Galaxy S8 Plus bulan lepas merancang mengadakan majlis pelancaran berasingan pada pertengahan April di China.

Kedua-dua model berkenaan mempunyai paparan dua-sisi dengan kemudahan program bantuan suara dinamakan Bixby.

Bagaimanapun, pemerhati industri berpendapat Samsung dijangka menghadapi kesukaran dalam mempromosikan model berkenaan susulan ketegangan antara Seoul-Beijing berkaitan isu penempatan sistem pertahanan peluru berpandu Amerika Syarikat.

"China adalah pasaran telefon pintar terbesar di dunia dan sebahagian besar jualan global (Samsung),"kata seorang pemerhati industri.

"Samsung dijangka akan melancarkan strategi pemasaran agresif," katanya. -- BERNAMA