Google pada Selasa melancarkan telefon pintar baru Pixel yang dibina dengan kecerdasan buatan (artificial intelligence atau AI) ketika ia cuba menandingi iPhone melalui telefon bimbit berharga premium jenamanya sendiri.

Rick Osterloh, ketua bahagian perkakasan baru di syarikat internet gergasi yang berpangkalan di California itu berkata: "Kami membina perkakasan dengan Google Assistant di terasnya.

"Kami percaya inovasi besar pada masa depan akan berlaku di persimpangan antara perkakasan dan perisian, dengan AI berada di tengah."

Telefon pintar Pixel boleh didapati dengan paparan 5 inci atau 5.5 inci, bermula dari AS$649 untuk pelanggan di Amerika Syarikat (AS), harga yang lebih kurang sama dengan model iPhone terbaru.

Pra-pesanan telah bermula pada Selasa di Australia, Kanada, Jerman, Britain dan AS.

"Ia telefon pertama yang dibuat oleh Google, luar dan dalam," kata Sabrina Ellis dari pasukan pengurusan produk Pixel.

Dengan menghasilkan perkakasan dan perisian Android, Google memberi cabaran secara langsung kepada Apple dan ekosistemnya yang dikawal ketat.

Tampil sebagai telefon pintar pertama menggunakan Google Assistant, ia mempunyai simpanan tanpa had untuk gambar dan video, serta serasi dengan Daydream, platform realiti maya syarikat itu.

Pixel juga mempunyai program khas untuk memudahkan pengguna menukar sistem operasi, contohnya dari iPhone ke Android, dengan hanya memindahkan kenalan, kandungan dan juga iMessages, menurut Ellis.