Pembangunan teknologi hijau dalam merawat sisa enapcemar minyak yang terhasil di industri minyak dan gas telah membawa kepada kejayaan dua orang saintis dari Universiti Malaysia Sabah.

Prof Madya Dr Piakong Mohd Tuah dan Dr Nur Zaida Zahari telah berjaya mencipta nama selepas memenangi dua anugerah iaitu emas dan anugerah khas dalam Pertandingan Ciptaan Kreatif Korea ke-6 (CiC 2019).

Kemenangan ini merupakan antara kejayaan yang cukup signifikan dalam usaha menjadikan Malaysia mesra industri dan pada masa sama mementingkan penjagaan alam sekitar.

Kedua-dua saintis dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini telah mengangkat nama Malaysia dalam CiC2019


Bagaimana idea ini tercetus?

Kajian yang dimulakan sejak 2002 ini telah dikenal pasti sebagai salah satu kaedah paling berkesan bagi merawat sisa buangan terjaual iaitu enapcemar minyak (SW311) daripada industri minyak dan gas di Sabah.

Ketika itu, rawatan kepada sisa terjadual ini hanya ada di Bukit Nenas, Negeri Sembilan dan juga di Kuching, Sarawak yang menjadikan kos rawatan sisa enapcemar minyak menjadi tinggi apabila ia membabitkan industri minyak dan gas di Sabah.

Sebagai saintis utama di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang mikrobiologi, Prof Madya Dr Piakong Mohd Tuah memimpin kajian ini terutamanya dalam mengenal pasti jenis bakteria yang sesuai dalam merawat sisa terjadual daripada industri minyak dan gas di Sabah.

Justeru itu, beliau bekerjasama dengan Dr Nur Zaida Zahari bagi memastikan kajian lebih mendalam dilakukan bagi membolehkan misi mengurangkan kos rawatan enapcemar dikurangkan dengan menggunakan teknologi tempatan.

Anugerah Emas yang diterima dalam kajian LIBeM Bioaugmentation
Kelebihan Teknologi ini.

Ia lebih praktikal untuk diaplikasikan dalam rawatan sisa enapcemar minyak (SW311) kerana menjimatkan masa.

Malah, melalui rawatan bakteria ini, ia lebih mesra alam dan tidak membawa kesan mudarat lain memandangkan ia melengkapkan semula rantaian dalam ekosistem semulajadi.

Paling penting, teknologi ini menjimatkan kos sehingga lebih 30 peratus.

Keupayaan hasil kajian ini menjadikan ia berjaya merangkul anugerah khas di CiC 2019

Apakah kaedah rawatan enapcemar yang digunakan sekarang?

"Setiap tahun terminal-terminal minyak di Malaysia menghasilkan kira-kira 400 tan metrik enapcemar minyak.

"Kos penghantaran rawatan sisa ini menelan belanja sehingga melebihi RM4 juta setahun," jelas Prof Madya Dr Piakong ketika dihubungi Astro AWANI.

Setakat ini, ada tiga kaedah yang digunakan di Malaysia dalam merawat sisa buangan ini iaitu:

1. Pencairan semula jadi

Proses ini mencampurkan enapcemar minyak dengan tanah dan dibiarkan terawat secara semula jadi.

Proses ini mengambil masa antara setahun ke dua tahun untuk selesai.

2. Pengimbuhan Biologi tanpa Aerated Static Pile (ASP)

Proses ini bergantung kepada prosedur operasi standard yang digunapakai serta jenis bakteria yang diguna.

3. Pengimbuhan Biologi dengan ASP

Proses ini merupakan salah satu teknologi hijau yang menggunakan bakteria / mikroorganisma baik dalam merawat sisa enapcemar dengan bantuan oksigen.

Proses aerobik memerlukan oksigen yang banyak tetapi baik memandangkan proses rawatan yang paling pantas berbanding dua proses sebelum ini.

Biasanya ia cuma mengambil masa 56 hari untuk selesai proses rawatan.

Bagaimana ia berfungsi?

Locally Isolated Beneficial Microorganisms (LIBeM) atau mikroorganisma baik ditemui dalam tanah, sisa buangan dan enapcemar yang diaktifkan dikumpulkan selepas melalui proses pengasingan, pencirian dan ujian bagi mengenalpasti formula terbaik dalam perawatan sisa buangan berkenaan.

Formulasi LIBeM ini boleh diproses semula sebagai produk komersial dalam bentuk cecair, serbuk, dan juga kapsul agar mudah diaplikasikan dan dibawa ke lokasi rawatan enapcemar minyak.

Campurkan sahaja sisa yang ada dengan formulasi LIBeM, maka proses rawatan bermula.

Kesan teknologi ini kepada Malaysia.

Pembangunan teknologi hijau seperti ini bakal membawa kesan baik kepada Malaysia terutamanya dalam industri minyak dan gas.

Di samping itu, penggunaan teknolgi tempatan ini dilihat bukan sahaja berpotensi besar dalam industri pengurusan sisa berjadual tetapi paling penting, ia mengurangkan kos operasi.