Jenayah siber dijangka mencecah 10,000 kes tahun ini - Madius

Jenayah siber dijangka mencecah 10,000 kes tahun ini - Madius
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau berkata, peningkatan ini adalah kerana kekurangan kesedaran rakyat berhubung isu keselamatan alam maya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Insiden berkaitan jenayah siber dijangka mencecah 10,000 kes menjelang hujung tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau berkata, peningkatan ini adalah kerana kekurangan kesedaran rakyat berhubung isu keselamatan alam maya.

"Kalau dulu, ancaman alam sekitar menjadi perkara yang diberi perhatian, cabaran kini juga termasuklah ancaman siber.
"'Apa yang berlaku dalam negara ini, kesedaran rakyat masih rendah. Kita ada jalankan kempen cybersafe dan ia akan berterusan," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Persidangan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM) Serantau di sini, hari ini.

Katanya, pensijilan kemahiran keselamatan maya seperti yang dianjurkan MOSTI dengan kerjasama Disaster Recovery Institute (DRI) International dapat mengurangkan pengurusan bencana negara.

Tiga kategori jenayah siber yang paling tinggi dicatatkan ialah penipuan, pencerobohan dan serangan malware.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Cybersecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab memberitahu, kesedaran ini penting bagi mengelak bencana yang lebih besar kepada negara.

"Cybersecurity bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi mengurus ancaman siber yang risikonya kian meningkat.

"Bayangkan jika berlaku serangan siber ke atas sektor kritikal negara, pihak kami akan berusaha mencari jalan bagi mengurangkan kesan daripada serangan ini ," katanya.

Persidangan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan (BCM) Serantau menjadi platform penting dalam mencakna pengetahuan terutamanya dalam hal keselamatan melalui pendidikan, perkongsian pengetahuan serta pensijilan oleh DRI International.