Larangan sepenuhnya telah dikuatkuasakan ke atas telefon pintar Samsung Galaxy Note 7 dalam semua penerbangan Qantas dan Jetstar mulai 16 Okt.

Samsung Galaxy Note 7 dilarang dibawa dalam semua penerbangan berkuat kuasa 12:01 tengah malam Ahad, kata Jetstar dalam kenyataan dikeluarkan di sini, pada Sabtu.

"Ini berikutan kebimbangan berhubung risiko kebakaran daripada bateri telefon itu selepas beberapa insiden di seluruh dunia dan susulan larangan dikenakan oleh badan pengawalan di luar negara," katanya.

Jetstar berkata larangan itu terpakai di dalam pesawat, dalam bagasi bimbit serta bagasi didaftar masuk.

"Peranti Samsung yang lain tidak tertakluk dengan larangan itu," katanya.

Jetstar, subsidiari milik penuh Qantas, ialah syarikat penerbangan tambang rendah Australia yang beribu pejabat di Melbourne.

Qantas, menerusi Jetstar Group, juga memiliki saham dalam anak syarikat seperti Jetstar Asia Airways, syarikat penerbangan tambang rendah berpangkalan di Singapura.

Jetstar Asia menawarkan perkhidmatan bagi laluan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Kenyataan itu merupakan makluman terkini susulan dasar Qantas Group sebelum ini membenarkan Samsung Galaxy Note 7 dibawa dalam penerbangan dengan syarat ia dimatikan.

"Syarat itu kini telah diperluaskan kepada larangan sepenuhnya," kata Jetstar. - BERNAMA