APPLE merancang memperbaiki 'kepincangan' pada perantinya yang dipercayai menjadi punca lebih 1 bilion iPhone terdedah kepada ancaman godam.

Pepijat itu, yang turut wujud pada iPad, dikesan syarikat forensik keselamatan ZecOps dari San Francisco ketika siasatan kes serangan siber terhadap pelanggannya pada 2019.

Menurut ketua eksekutifnya Zuk Avraham, beliau turut menemukan bukti bahawa kepincangan itu menyebabkan sekurang-kurangnya enam kes serangan siber.

Memetik laporan Reuters, seorang jurucakap Apple mengakui mempunyai pengetahuan mengenai kecacatan pada aplikasi ‘Mail’ di peranti iPhone dan iPad.

Namun, jurucakap tersebut memaklumkan bahawa ia akan diperbaiki melalui kemas kini perisian dalam masa terdekat yang dijangka akan membabitkan jutaan peranti di serata dunia.

Apple bagaimanapun enggan mengulas mengenai kajian Avraham itu yang mendakwa kepincangan itu boleh dicetuskan dari jarak jauh dan telah pun disalah guna penggodam.

Sebelum kajian itu yang diterbitkan pada Rabu, Avraham pada Januari 2018 pernah mendakwa menemukan satu program berbahaya yang mengeksploitasi sistem operasi iOS yang terdedah kepada risiko ancaman godam.

Penggodaman itu berlaku apabila mangsa menerima emel kosong menerusi aplikasi Mail yang memaksa peranti itu rosak dan terpaksa diset semula.

Ia akan membuka pintu kepada penggodam untuk mencuri data lain pada peranti itu, termasuk gambar dan maklumat peribadi.

ZecOps mengenal pasti teknik penggodaman itu apabila ia digunakan terhadap pelanggan syarikatnya.

Avraham dakwa pelanggan itu merupakan salah satu syarikat teknologi Fortune 500 dari utara Amerika, namun tidak mendedahkan identiti syarikat berkenaan.

Dalam industri keselamatan siber, Apple lazimnya dilihat mempunyai piawaian tinggi dalam keselamatan digital.