Tutup

Perang dagang AS-China tidak jejas harga jualan iPhone

Perang dagang AS-China tidak jejas harga jualan iPhone
Pengamal media dan peneliti sektor teknologi sedang mencuba barangan Apple yang baharu sahaja dilancarkan oleh syarikat itu pada Rabu. Astro AWANI/IBRAHIM SANI
CUPERTINO: Perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China tidak menjejaskan harga jualan produk Apple kali ini.

Sebelum ini, Presiden AS Donald Trump telah mengenakan beberapa tarif tambahan terhadap barangan yang diimport dan barangan yang dibuat di China. 

Apple pada Rabu melancarkan iPhone 11 yang berharga AS$700 (RM2,800), iPhone 11 Pro berharga AS$999 (RM4,000), dan iPhone 11 Pro Max berharga AS$1,099 (RM4,400) pada acara tahunannya di Steve Jobs Theatre di Cupertino, California.

iPhone 11 adalah AS$50 (RM400) lebih murah daripada iPhone yang sama taraf tahun lalu (iPhone XR) yang berharga AS$750 (RM3,000). Peranti iPhone 11 Pro adalah harga yang sama seperti iPhone XS dan iPhone XS Max semasa ia dilancarkan pada 2018.
Penurunan harga bagi model paling murah dan penyamaan harga dengan model yang lebih tinggi tarafnya, diperkenalkan ke pasaran tatkala AS mengenakan kenaikan tarif 15 peratus terhadap barangan buatan China, seperti yang dicadangkan Trump mengenai import China, termasuk produk Apple.

Tarif Trump boleh dikatakan akan menjejaskan harga iPhone Apple hingga Disember tahun ini, tetapi Apple nampaknya tidak menjadikan kenaikan tarif ini sebagai sebab untuk mereka menaikkan harga jualan peranti terkenal itu.

Bagaimanapun, pasaran kurang jelas jika Apple menyerap kenaikan kos tarif ini ke dalam harga jualan mereka. 
Penjualan iPhone susut pada 2019, dan penganalisis menyatakan antara sebab utama adalah kerana peningkatan harga iPhone pada 2018.

Strategi Apple tahun ini untuk mengekalkan harga jualan iPhone sama seperti tahun lepas merupakan usaha syarikat ini untuk mengekalkan kadar jualan iPhone pada tempoh terdekat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple Tim Cook telah menyatakan sebelum ini bahawa beliau akan terus melobi kerajaan AS untuk hentikan perang dagangan AS-China.