PICKnGO tingkat akses pemandu teksi cari penumpang - Nancy

PICKnGO tingkat akses pemandu teksi cari penumpang - Nancy
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri meletakkan tangan pada paparan skrin simbolik melancarkan aplikasi 'PICKnGO' hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Aplikasi tempahan teksi, PICKnGo yang baharu diperkenalkan diharap akan dapat membantu golongan pemandu teksi untuk mendapat akses kepada permintaan pengguna dalam pasaran e-hailing yang semakin meningkat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ini sekali gus mampu meningkatkan pendapatan pemandu teksi menerusi sistem yang lebih teratur, seterusnya memberi manfaat kepada pengguna perkhidmatan awam.

"Saya berbesar hati apabila mendapat tahu PICKnGO telah menyediakan kursus-kursus latihan dan pemeriksaan kenderaan yang komprehensif kepada pemandu teksi.

"Mereka juga didedahkan tentang penggunaan teknologi. Ini mungkin benda baharu bagi segelintir pemandu tetapi saya percaya ia tidak sukar untuk dipelajari.
"Pemandu teksi ini juga mempunyai kelebihan untuk mendapat pelanggan dari jalanan dan juga menerusi aplikasi. Mereka sangat bertuah," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran PICKnGO di Sunway Velocity Mall pada Isnin.

Aplikasi tempahan teksi PICKnGO dibangunkan hasil kerjasama lima syarikat teksi tempatan iaitu New Supercab Sdn Bhd; Uptownace (M) Sdn Bhd; Damai Kota Cab Sdn Bhd; Syarikat Pemandu dan Pemilik Teksi Bhd dan Perniagaan Lima Sejati Sdn Bhd.

Setakat ini, lebih 1,000 pemandu teksi sudah berdaftar untuk menggunakan aplikasi ini, dan jumlah pengguna pula mencecah 1,500 sejak operasi bermula tiga bulan lalu.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pick N Go Sdn. Bhd., Valerie Chan berkata, antara kelebihan aplikasi PICKnGO adalah perkhidmatan butang SOS sebagai langkah keselamatan tambahan kepada penumpang.

"Selain itu, penumpang juga boleh membuat pilihan bayaran sama ada secara tunai, kad kredit atau debit.

"Kita mensasarkan jumlah pendaftaran 10,000 pemandu teksi untuk tahun ini," jelasnya.

Pada akhir Julai, Malaysia mencatatkan sejarah sebagai negara pertama menjadikan perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber sebagai satu perkhidmatan pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang.

Peruntukan bagi mengawal selia perkhidmatan 'e-hailing' itu menjadi kenyataan selepas Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan RUU Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Pindaan) 2017 diluluskan di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pemandu Uber, Grabcar dan Zepp on Syed Rosli Syed Harman Jamalullail menggesa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menyelaraskan kadar tambang bagi perkhidmatan 'e-hailing' seperti Grabcar dan Uber.

Tegasnya, ia menjamin tiada harga tambang yang tidak munasabah seperti ketika ini.