Penggunaan telefon sendiri bagi menghalang panggilan-panggilan dan mesej-mesej yang tidak diingini (unsolicited calls and messages) bukan kaedah terbaik bagi melindungi data peribadi.

Teo Nie Ching (DAP-Kulai) berkata ini kerana kaedah ini tidak menyelesaikan masalah sebenar iaitu kebocoran data peribadi.

"Apabila saya membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai panggilan dan mesej yang saya terima, nasihat yang diberi hanya menyuruh saya menghalang (block) panggilan tersebut.

"Ini bukan penyelesaian. Apakah tindakan yang diambil kepada pihak yang menghantarnya?" soal Teo di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari berkata pihaknya sentiasa mengambil tindakan dan memantau pihak yang bertanggungjawab dalam melakukan perkara ini.

"Namun, ini sahaja tidak mencukupi. Oleh itu, kami turut mengadakan seminar bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung keselamatan data peribadi.

"Selain itu, saya juga menasihati orang ramai supaya jangan berkongsi maklumat dengan sewenang-wenangnya. Ini adalah antara punca data peribadi dibocorkan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dari Teo mengenai apakah tindakan yang telah diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat dalam kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan telefon mudah alih di negara ini.

Mengenai kes tersebut, Jailani berkata proses siasatan masih berjalan ketika ini.

"Saksi-saksi sudah diambil keterangannya. Sebaik sahaja selesai, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara sebelum tindakan seterusnya diambil," katanya.