Gelombang elektromagnetik yang dibawa teknologi mudah alih generasi kelima (5G) jauh lebih rendah jika digunakan dengan telefon bimbit dan tidak mendatangkan kemudaratan sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Perkara itu diakui Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang menyifatkan orang ramai tidak perlu bimbang dengan pandangan sesetengah pihak bahawa teknologi 5G boleh menjejaskan kesihatan seperti yang disebarkan di media sosial.

"Ini berkenaan dengan pendedahan kepada gelombang elektromagnetik, 5G ada gelombang elektromagnetik sama seperti telefon bimbit dan pancaran cahaya matahari.

"Gelombang elektromagnetik yang dibawa 5G jauh lebih rendah kalau kita pakai telefon bimbit, kalau kita katakan risiko dan pendedahan kepada gelombang itu tidak tinggi.

"Kalau orang yang betul-betul takut pada 5G tidak perlu pakai telefon bimbitlah dan terdedah kepada matahari," katanya.

BACA: Maklumat penting yang perlu anda tahu tentang teknologi 5G

Boon Chye berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas desas-desus yang hebat dibincangkan di media sosial tentang bahaya teknologi 5G.

Ia termasuk bantahan dari penduduk di luar negara dengan mengadakan tunjuk perasaan berhubung pelancaran teknologi tanpa wayar 5G di seluruh negara itu dibimbangi menjejaskan kesihatan orang ramai.

Mereka mendakwa masalah sakit kepala, kemurungan, kebimbangan dan keletihan akan terjadi disebabkan oleh pendedahan 5G.

Dalam pada itu, Boon Chye menegaskan pihaknya tetap akan memantau perkara itu dan katanya terdapat garis panduan yang digunapakai mengenai teknologi itu.

"Kita akan pantau (teknologi 5G), cuma kita ada garis panduan berkenaan dengan stesen-stesen besar yang buat pancaran elektromagnet itu.

"Kita juga bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan badan antarabangsa untuk memantau dan mengutip data-data, kita akan lihat kepada bukti-bukti saintifik.

"Tetapi kita yakin dengan 5G itu selamat dan jauh lebih selamat apabila guna telefon bimbit," katanya lagi.