Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini memperkenalkan pelan pascabayar unifi mobile melalui kempen #khabarbaik tahun ini yang menggambarkan komitmen syarikat telekomunikasi itu dalam memperkenalkan inovasi kepada pelangganya.

Pelan-pelan itu direka secara khas untuk penggunaan isi rumah di Malaysia pada harga yang berpatutan.

Pemangku Naib Presiden Eksekutif Unifi, Moharmustaqeem Mohammed berkata, #khabarbaik merupakan perubahan cara kerja dalam usaha mempertingkatkan pengalaman pelanggan.

“Yang pertama sekali ialah pelancaran pelan-pelan pascabayar yang baharu. Pelan berkenaan direka secara khas untuk individu-individu yang berada di dalam sebuah rumah.

“Ada pelan bermula daripada harga RM19 mungkin untuk adik, ada yang RM29 mungkin untuk warga emas. Ada berharga RM39 dan RM59, mungkin untuk abang dan kakak di mana keperluan mereka lebih berat atau terarah kepada media sosial juga penstriman media,” katanya.

Moharmustaqeem berkata demikian semasa ditemui pada majlis pelancaran Gerakan #khabarbaik oleh unifi bagi tahun 2019 di sini.

Tambahnya, unifi turut melancarkan unifi Mobile 99 di mana penggunaan data, panggilan dan sistem pesanan ringkas (SMS).

Bagi memudahkan interaksi pelanggan, TM dijangka akan melanjutkan operasi mereka pada hari Sabtu dan Ahad.

unifi pada masa yang sama turut merekod peningkatan jualan sebanyak 37 peratus pada bulan ini berbanding bulan-bulan lain secara puratanya pada tahun 2018.