SEBILANGAN besar daripada kita sering sahaja menghabiskan masa lapang mereka khususnya pada hujung minggu dengan menonton televisyen.

Penonton tegar televisyen tidak kisah menghabiskan berjam-jam lamanya menonton program kesukaan mereka.

Begitu juga dengan kaki bola, bagaikan sudah menjadi rutin golongan ini berkumpul bersama-sama rakan menyaksikan perlawanan liga antarabangsa di restoran-restoran khususnya di tempat terbuka.

Jika selama ini kebanyakan daripada kita beranggapan televisyen yang skrin bersaiz 70 inci sudah cukup besar untuk menikmati perlawanan bola sepak, namun pada tahun depan, saiz itu dijangka tidak memberi sebarang makna lagi.

Ini kerana sebuah syarikat elektronik dari Austria, C Seed bakal melancarkan televisyen luar rumah, model C Seed 301 menjelang pertengahan 2020.

Televisyen luar rumah ini menuntut ruang terbuka untuk ditempatkan memandangkan ketinggiannya sahaja melebihi seekor zirafah!

Diperbuat daripada bahan berjenis ringan iaitu ‘carbon fiber’ dan titanium, sekali gus menjadikan C seed 301 hanya seberat 3630 paun (1630 kilogram) sekalipun saiznya 301 inci.

C Seed 301 turut direka untuk terus berfungsi dalam situasi angin bertiup sehingga 50 km/j.

Andai kata sewaktu anda sedang menonton dan angin bertiup kencang, televisyen itu akan terlipat secara automatik serta memasuki ruangan simpanan yang berbentuk kotak.

Tujuh panel televisyen ini juga boleh melipat keluar semula apabila diperlukan dan memerlukan 25 saat untuk keluar dari ruang simpanan berkenaan manakala 40 saat lagi masa diambil untuk membuka skrin.

Dengan pencahayaan 4,500 nits, nisbah kontras 4:500: 1 dan kedalaman warna 48-bit, anda dapat melihat dengan jelas pada paparan skrin walaupun cahaya matahari memancar di atas kepala.

Teknologi penciptaan model ini juga dilengkapi dengan hampir empat juta LED data imej proses sehingga 100,000 kali sesaat selain membolehkan C Seed 301 memaparkan 281 trilion warna.

Model baharu itu juga dilengkapi tiga pembesar suara dan tiga sub-woofer disertakan dengan output 2700W.

C Seed 301 juga dipakejkan oleh teknologi High Dynamic Range (HDR), sokongan video 4K.

Sebelum ini syarikat teknologi ini pernah menghasilkan dua model televisyen gergasi iaitu bersaiz 144 inci dan 201 inci.

Justeru, model C Seed 301 bakal mencipta rekod sebagai televisyen terbesar dunia buat masa ini.

Bercakap tentang spesifikasinya sahaja pasti ramai yang berangan untuk memilikinya.

Berminat untuk mengetahui harga C Seed 301?

Sekiranya anda mempunyai duit yang banyak dan tidak tahu mana mahu dibelanjakan, barangkali, anda orang yang paling layak untuk membeli televisyen berteknologi tinggi ini dengan harga AS$1.5 juta (RM6.2 juta).

Untuk makluman bakal pemilik televisyen ini, syarikat pengeluar televisyen ini juga sudah mula membuka tempahan.