Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Twitter benarkan kakitangan terus kerja dari rumah pasca COVID-19

Twitter benarkan kakitangan terus kerja dari rumah pasca COVID-19
Twitter turut meningkatkan elaun untuk bekalan barangan ketika bekerja dari rumah sebanyak AS$1,000 bagi setiap kakitangan.
KAKITANGAN syarikat laman sosial Twitter dibenarkan terus bekerja dari rumah walaupun selepas perintah berkurung susulan penularan COVID-19 ditamatkan.

Perkara berkenaan diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Twitter, Jack Dorsey, dalam satu emel kepada staf syarikat itu pada Selasa.

Namun, menurut laporan BuzzFeed News, beberapa tugas yang memerlukan pekerja hadir secara fizikal tidak tertakluk kepada polisi itu.

“Kami amat bertimbang rasa dalam cara pendekatan kami sejak menjadi antara syarikat paling awal yang melaksanakan model ‘work-from-home’,” kata seorang jurucakap Twitter kepada BuzzFeed News.
“Kami akan terus mengutamakan dahulu keselamatan pekerja dan masyarakat kami.”

Twitter turut mengesahkan berita tersebut kepada portal TechCrunch dengan menyatakan: "Jika kakitangan kami mampu bekerja dari rumah dan ingin teruskan begitu, kami akan pastikan ia dapat berterusan."
Jack dalam emel tersebut menyatakan bahawa pihaknya tidak mejangkakan premis pejabat Twitter akan dibuka sebelum September.

Twitter turut meningkatkan elaun untuk bekalan barangan ketika bekerja dari rumah sebanyak AS$1,000 (RM4,300) bagi setiap kakitangan.

Twitter mula menggalakkan kakitangannya bekerja dari rumah sejak awal Mac apabila pandemik COVID-19 mula menular di serata Amerika Syarikat.

Beberapa syarikat teknologi turut mengambil langkah sama, termasuk Microsoft, Google dan Amazon.

Ketua Sumber Manusia Twitter Jennifer Christie ketika itu memberitahu, syarikat itu berkemungkinan tidak akan kekal sama lagi dalam strukturnya.

“Orang yang sebelum ini tidak setuju untuk bekerja dari jarak jauh akan mendapati bahawa mereka mampu bekerja dalam keadaan sebegitu,” kata Jennifer.

“Pengurus-pengurus yang menjangkakan mereka tidak mampu mengurus kumpulan mereka secara jarak jauh akan mempunyai perspektif berbeza. Saya rasa kita tidak akan kembali (kepada cara lama).”