Usah dipandang sepi kelebihan Bus Rapid Transit

Usah dipandang sepi kelebihan Bus Rapid Transit
Sistem Bus Rapid Transit dapat mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian - Gambar Hiasan
DI saat kita cuba untuk meningkatkan jumlah penumpang pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian, jangan sesekali kita pernah lupa tentang peranan yang boleh dimainkan oleh Bus Rapid Transit (BRT) terutamanya di bandar-bandar besar.

BRT merupakan sistem pengangkutan awam yang direka secara sistematik yang dapat mengurangkan kesesakan dan meningkatkan kebolehpercayaan pengguna menggunakan sistem pengangkutan awam.

Apakah sebenarnya masalah utama perkhidmatan bas? Jika dilihat, ia agak perlahan dan bukan sahaja kepada penumpang yang menaikinya.

Mana tidaknya, menunggu di satu-satu hentian sementara penumpang turun naik dan membayar tambang merupakan satu tindakan tidak effisien dan menyebabkan berlaku kesesakan bukan sahaja di kawasan hentian bas tetapi di sepanjang laluan jalan raya yang menambahkan lagi sikap benci pengguna lain terhadap perkhidmatan bas.

Lakaran lukisan menunjukkan lorong khas dan laluan berpusat dengan mengaplikasikan teknologi terkini menjadikan BRT salah satu pengangkutan awam yang efisien dan selamat

Oleh itu, BRT boleh mengelakkan kelewatan bas sekiranya mempunyai ciri-ciri yang dikehendaki termasuklah mempunyai lorong khusus ataupun koridor khas untuk perkhidmatan bas, sistem tambang yang proaktif, keutamaan isyarat lalu lintas, pemusatan perhentian bas dan kenderaan berkapasiti tinggi yang dapat menyumbang kepada perkhidmatan yang lebih pantas.

BRT juga merupakan salah satu penyelesaian yang agak berpatutan memandangkan kos operasinya jauh lebih murah berbanding pengangkutan awam lain termasuklah sistem LRT. Jika mengambil kira anggaran kos modal pula, perbezaannya adalah jauh lebih besar.
Berdasarkan Bus Rapid Transit Planning Guide yang ditulis oleh Lloyd dan Walter Hook, dianggarkan kos pembinaan sistem BRT kebiasaannya menelan kos empat hingga 20 kali kurang daripada sistem LRT dan 10 hingga 100 kali kurang dari sistem pengangkutan rel keseluruhannya.

Beberapa ciri yang sama membolehkan bas bergerak di sepanjang koridor dengan pantas dan menjadikan koridor lebih selamat untuk penumpang dan kenderaan lain.

Lorong khas hanya untuk kenderaan BRT dapat mengurangkan potensi kemalangan sama seperti sistem kereta api. Namun, sistem kereta api menanggung risiko keselamatan lain yang jauh lebih tinggi berbanding sistem BRT.

Kelajuan maksimum boleh mengakibatkan kemalangan yang lebih serius terutamanya di bahagian landasan yang lebih tinggi atau bawah tanah yang sukar untuk dipindahkan sekiranya belaku kecemasan.

Laluan berpusat untuk kenderaan BRT dapat mengurangkan risiko dengan membenarkan bas untuk mengelak dari kenderaan lain dan lalu lintas yang bercampur-campur seterusnya mengindari dari berlakunya kemalangan.

Pusat laluan BRT yang dilindungi juga dapat mewujudkan ruang yang selamat untuk penumpang menunggu di samping menyediakan sistem tambang yang efisien yang membolehkan pemandu bas memberikan tumpuan kepada aspek pemanduan sahaja.

Selain itu, terminal bersepadu dan penambahbaikan insfrastruktur membantu meningkatkan perkhidmatan dan daya penarik kepada para penumpang untuk menggunakan pengangkutan BRT.

Apabila sistem BRT dilaksanakan, maka wujud kemunculan bas-bas yang baharu.

Bas-bas baharu dengan teknologi kenderaan dan bahan bakar yang lebih bersih dapat mengurangkan pencemaran udara di seluruh bandar dan di dalam kenderaan BRT itu sendiri.

Bahan api alternatif seperti tenaga elektrik hibrid, gas asli termampat (CNG), gas asli cecair (LNG), biodiesel dan diesel sulfur rendah ultra mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kualiti udara.

Pendek kata, pengenalan terhadap sistem BRT dapat meningkatkan penumpang transit yang dapat
mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan seterusnya dapat mengurangkan pencemaran udara.

Berbanding dengan perkhidmatan kereta api yang menggunakan laluan tetap, sistem BRT menggunakan laluan bas terbuka yang membolehkan sistem BRT berkembang dan boleh berubah-ubah di dalam kawasan bandar yang ingin melaksanakannya.

Seiring dengan keupayaan untuk meningkatkan perkhidmatan dengan mudah dan cepat bertindak balas dengan permintaan, sekiranya kenderaan BRT rosak atau mempunyai kerosakan mekanikal, laluan bas terbuka akan digunakan untuk membolehkan kenderaan BRT lain beroperasi mengikut jadual yang telah ditetapkan.

Malah, kenderaan BRT yang rosak mudah untuk ditarik keluar dari laluan bas terbuka.

Mengapa tidak setiap bandar mempunyai sistem BRT? Mungkin terdapat beberapa sebab, salah satunya disebabkan oleh kapasiti. Kenderaan BRT yang lebih besar dapat menampung 90 hingga 150 orang tetapi kereta api boleh membawa tiga hingga lima kali lebih ramai penumpang.

Namun, jika mempunyai laluan khusus atau tersendiri, BRT dapat beroperasi lebih kerap berbanding dengan LRT sama ada jumlah penumpangnya sama atau jauh lebih tinggi.

Malah, kapasiti BRT juga boleh ditambah dengan penambahan ruangan pada setiap kenderaan BRT.

Satu lagi halangan bagi perkhidmatan BRT adalah apabila ciri-ciri penting yang diperlukan untuk BRT terpaksa dikurangkan akibat kekurangan dana ataupun kehendak politik menyebabkan peranan BRT itu tidak dapat direalisasikan.

Seharusnya, pembangunan sistem BRT perlu memenuhi standard dan piawaian BRT untuk melindungi jenama BRT dan mendapat pengiktirafan antarabangsa agar perkhidmatan yang disediakan berkualiti tinggi.


* * Dr. Mohd Fahmy Abdullah merupakan Penyelidik Utama, Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICoE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.