Imunisasi sangat penting kepada manusia sejak sekian lama. Ia adalah perlindungan untuk diri anda, anak-anak anda dan juga generasi akan datang daripada penyakit berjangkit.

Secara mudahnya, jika kita divaksinasi, kita dapat membantu menghapuskan penularan penyakit berjangkit pada waktu sekarang dan juga kemungkinan lain yang bakal muncul.

Walaupun pelbagai perdebatan berlaku sama ada ia perlu diwajibkan atau tidak namun hakikatnya ia mampu menjadi mekanisma dan langkah awal bagi membolehkan manusia bertahan daripada serangan pelbagai penyakit di seluruh dunia.

Objektifnya adalah - semakin ramai manusia divaksinasi, semakin kurang manusia yang boleh dijangkiti penyakit, sekali gus semakin kecil kebolehjangkitan sesuatu penyakit itu.

Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang imunisasi dari laman web rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO):

1) Imunisasi mengelakkan sekitar 2 hingga 3 juta kematian setiap tahun

Imunisasi mencegah kematian setiap tahun di semua peringkat umur dari difteria, tetanus, pertussis (batuk rejan), dan campak. Ini adalah salah satu intervensi kesihatan awam yang paling berjaya dan menjimatkan kos.

2) Lebih ramai kanak-kanak kini berjaya diimunisasi

Pada tahun 2010, dianggarkan 109 juta kanak-kanak di bawah umur satu tahun diberi vaksin dengan tiga dos vaksin difteria-tetanus-pertussis (DTP3). Kumpulan kanak-kanak ini dilindungi daripada penyakit berjangkit yang boleh membawa akibat serius seperti penyakit, kecacatan atau kematian.

3) Dianggarkan 19.3 juta kanak-kanak di bawah usia setahun tidak mendapat vaksin DTP3

Tujuh puluh peratus daripada kanak-kanak ini tinggal di 10 negara, dan lebih separuh daripadanya tinggal di wilayah WHO di Afrika dan Asia Tenggara.

4) Lebih dari 1 juta bayi dan kanak-kanak mati setiap tahun akibat penyakit pneumokokus dan cirit-birit rotavirus

Sebilangan besar kematian ini dapat dicegah melalui vaksinasi.

5) Kerjasama awam-swasta memudahkan pengembangan dan pengenalan vaksin

Sebagai contoh, vaksin baharu yang mencegah penyebab utama wabak meningitis di sub-Sahara Afrika, iaitu meningokokus A dan MenAfriVac, diperkenalkan di Burkina Faso, Mali dan Niger tahun lalu. Pada akhir tahun 2011, Cameroon, Chad dan Nigeria memvaksin lebih daripada 22 juta individu dengan vaksin yang berpotensi menghilangkan penyebab utama wabak meningitis di Afrika.

6) Bekalan vaksin influenza telah diperluas dengan ketara

Peningkatan itu mampu dicapai atas sokongan WHO ke atas pengeluar vaksin untuk menghasilkan dan melesenkan vaksin influenza di 11 negara membangun.

7) Kematian campak global telah menurun sebanyak 74%

Kematian akibat demam campak global telah berkurang dari sekitar 535,300 kematian pada tahun 2000 menjadi 139,300 pada tahun 2010, berikutan kempen vaksinasi yang dipergiatkan.

8) Kes polio telah menurun lebih dari 99%

Sejak tahun 1988, kes polio telah menurun lebih dari 99%, dari sekitar 350,000 kes menjadi 1,352 kes yang dilaporkan pada tahun 2010. Pengurangan tersebut adalah hasil usaha global untuk membasmi penyakit ini. Hanya tiga negara - Afghanistan, Nigeria dan Pakistan - yang kekal berstatus polio-endemik, menurun daripada lebih dari 125 pada tahun 1988

9) Kematian tahunan dari tetanus neonatal telah menurun

Kematian tetanus bagi kelahiran pramatang telah menurun menjadi kira-kira 59,000 kes, berbanding 790,000 kes kematian pada tahun 1988

10) Imunisasi memberi peluang untuk langkah-langkah menyelamatkan nyawa lain

Imunisasi tidak hanya melindungi kanak-kanak daripada penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin. Ia juga membuka peluang untuk memberikan langkah-langkah menyelamatkan nyawa bagi masalah lain. Contohnya, suplemen vitamin A untuk mencegah masalah malnutrisi, membekalkan jaring yang dirawat dengan ubat untuk perlindungan terhadap malaria, serta ubat pembasmi cacing usus. Di samping itu, manfaat imunisasi semakin banyak diperluas merangkumi kanak-kanak dan orang dewasa, sekali gus memberikan perlindungan terhadap penyakit yang mengancam nyawa seperti influenza, meningitis, dan barah orang dewasa.