SEDARKAH anda dianggarkan sebanyak 16,668 tan sehari sisa makanan yang dibazirkan oleh isi rumah di mana pembaziran tersebut boleh mencecah sebanyak 6.1 juta tan makanan setahun?

Statistik yang dilaporkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) itu menggambarkan bagaimana masalah ini perlu dipandang serius dan diselesaikan secara efektif.

Malah lebih mengejutkan, KRI memaklumkan jumlah pembaziran makanan yang dibuang, khususnya oleh isi rumah dalam sehari itu cukup untuk menampung seramai 2.2 juta orang untuk makan tiga kali sehari.

Pernah kita bayangkan nasib rakyat di negara lain yang tidak mendapat makanan secukupnya, namun di Malaysia nampaknya situasi itu berbeza?

Atas sebab itu, Hari Makanan Sedunia yang disambut pada 16 Oktober setiap tahun, adalah sangat penting untuk membawa kesedaran global mengenai isu pembaziran sisa makanan.

Menyedari keadaan itu, Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd menzahirkan komitmen dan pendirian tegas terhadap isu global tersebut apabila menjadi peruncit pertama yang menerbitkan data sisa makanannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata usaha pasar raya itu ke arah mengurangkan lebihan sisa makanan sudah dilakukan sejak sekian lama. -Gambar Tesco Malaysia
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Paul Ritchie berkata sebagai peruncit, Tesco memahami cabaran untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan, yang mana boleh menyebabkan lebihan makanan tidak terjual.

“Oleh itu, ketelusan dan perancangan adalah penting untuk mengenal pasti punca dan penyelesaian bagi masalah pembaziran makanan, kerana apa yang kita tahu, kita boleh atasi,” kata beliau.

Jelas Ritchie, usaha pasar raya itu ke arah mengurangkan lebihan sisa makanan sudah dilakukan sejak sekian lama.

“Dengan semua usaha yang kami lakukan, menerbitkan data sisa makanan kami adalah langkah yang rasional dalam perjalanan untuk mewujudkan Malaysia yang lebih mampan dan mesra alam,” tambah beliau.

Antara usaha dilaksanakan oleh syarikat peruncit itu ialah menjalankan kerjasama dengan Food Aid Foundation dan Kechara Soup Kitchen sejak Oktober 2016 dengan menyumbangkan buah-buahan, sayur-sayuran dan lebihan yang tidak dijual tetapi boleh dimakan setiap hari.

Gambar Tesco Malaysia
Usaha itu berkembang dan membuahkan hasil apabila kini sebanyak 59 pasar raya Tesco di seluruh negara melaksanakannya dan secara keseluruhan sebanyak 4.8 juta makanan disumbangkan sejak 2016.

Sehingga tahun kewangan berakhir 28 Februari lalu, Tesco telah mendermakan 610 tan lebihan makanan tidak terjual tapi masih elok dimakan kepada golongan memerlukan.

Jumlah sumbangan berkenaan bersamaan dengan 1.4 juta hidangan siap dimasak.

Mengulas lanjut, Ritchie berkata Tesco turut bekerjasama dengan MYSaveFood Network, iaitu di bawah rangkaian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), untuk memulakan Edible Garden Programme dengan 26 sekolah angkat Tesco.

Ujarnya, program tersebut merupakan sebahagian tanggungjawab sosial dan korporat Tesco dalam pendidikan dan alam sekitar, di mana pelajar diajar untuk mengurangkan pembaziran sisa makanan.

Sementara itu, Ketua MYSaveFood Network, Dr Ainu Husna MS Suhaimi juga memuji inisiatif yang dilaksanakan oleh Tesco kerana secara tidak langsung jumlah sisa makanan dapat dikawal menerusi data yang dicatatkan.

“Ia dapat memberi kesedaran dan manfaat kepada semua pihak terbabit. Diharapkan lebih banyak organisasi akan mengikuti langkah Tesco dan seterusnya mencapai objektif pengurangan makanan pada pertengahan 2030,” katanya.

Dalam laporan Pelan Pembangunan Pengurusan Sisa Makanan bagi Sektor Industri (2016-2026), Pengurusan Sisa Pepejal dan Perbadanan Pembersihan Awam menyatakan sektor isi rumah menghasilkan kira-kira 44.5 peratus sisa makanan, manakala Perindustrian, Perdagangan dan Institusi pula sebanyak 31.4 peratus.