Kemeriahan Majlis Fiesta Perkahwinan Beramai-ramai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang pastinya menjadi kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan buat 24 pasangan pengantin di negeri itu.

Mereka telah memilih tarikh istimewa 19 September 2019 untuk membina ikatan perkahwinan.

Kesemua pasangan mendaftarkan perkahwinan mereka di JPN negeri diraikan dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Pendaftaran perkahwinan itu juga melibatkan dua warga asing iaitu dari Indonesia dan Thailand yang memilih warganegara tempatan sebagai pasangan hidup mereka.

Bagi pasangan Brian Tan Teng Han, 28 dan Lam Yee Chen, 27 mereka tidak menyangka hari bersejarah ini akan diraikan dalam suasana cukup meriah, malah istimewa apabila Ketua Menteri Pulau Pinang turut hadir memeriahkan upacara tersebut.

Pasangan itu memilih tarikh istimewa hari ini sebagai tarikh untuk membina fasa kehidupan baharu selepas bercinta hampir tiga tahun.

Sementara itu, bagi pasangan T. Ganggasri dan P. Vinod mereka gembira apabila perkenalan selama sembilan tahun berakhir dengan perkahwinan.

Lebih istimewa mereka disatukan pada tarikh yang cukup istimewa malah turut berkongsi kegembiraan bersama 23 pasangan yang lain.

Selain ahli keluarga dan rakan, majlis itu turut dihadiri Pengarah JPN negeri, Nur Zulfa Ibrahim.