SENI mempertahankan diri merupakan cara terbaik untuk anak anda membina jati diri, di samping meningkatkan tahap kecergasan dan kecerdasan mereka.

Selain dapat melindungi diri, mempelajari seni mempertahankan diri juga boleh membuatkan anak-anak lebih berdisiplin, penyabar, sihat serta berkeyakinan diri.

Berikut merupakan empat kebaikan atau manfaat yang dapat diperolehi oleh anak-anak anda dari mempelajari serta mengamalkan seni mempertahankan diri:

#1 Disiplin

Salah satu prinsip utama dalam mana-mana seni mempertahankan diri tradisional ialah mengajar tentang disiplin, serta cara mengawal diri dan emosi.

Guru-guru dan sifu di seluruh dunia sering menyebut perkara ini sebagai keperluan utama untuk seseorang berjaya dalam hidup.

Ia merupakan salah satu pelajaran yang paling penting bagi anak-anak anda.

#2 Keyakinan diri

Jika sebelum ini anak anda merupakan seorang yang pemalu untuk berkawan, menghadiri kelas seni mempertahankan diri membolehkannya bertemu dengan pelajar lain yang mungkin berkongsi minat yang sama.

Sebagai contoh, atlet seni bela diri campuran (MMA) negara, Agilan Thani yang ketika usia remajanya sering berasa rendah diri, namun kini tampil lebih yakin.

Malah, penglibatannya dalam seni mempertahankan diri menjadikannya seorang yang berjaya dalam arena tersebut dan dipandang tinggi dalam kalangan atlet lain.

#3 Kecergasan fizikal

Ini antara sebab utama mengapa kebanyakan orang mengamalkan seni bela diri.

Anak-anak dilatih untuk menguji tahap kecergasan mereka menerusi latihan-latihan fizikal.

Satu lagi perkara yang menarik, anak-anak turut dapat membina ketangkasan koordinasi mata dan tangan mereka menerusi pelbagai pergerakan yang dipelajari seperi 'kata' dan jurus serta bunga.

#4 Merendah diri dan hormat menghormati

Dalam mana-mana seni mempertahankan diri, hormat menghormati serta merendah diri menjadi perkara yang utama bagi pengamalnya.

Kebanyakan seni mempertahankan diri di seluruh Asia memiliki beberapa upacara unik seperti buka gelanggang, tutup gelanggang dan sebagainya yang dilakukan untuk menghormati perkara tertentu dan memupuk rasa hormat.

Selain itu, murid-murid juga diajar supaya sentiasa taat kepada agama, ibu bapa dan guru serta menghormati keluarga, rakan-rakan dan orang lain.