Bukan menara megah berdiri memangkas angkasa, bukan juga lebuhr aya bertingkat membelah benua mahupun kereta bersayap dengan kelajuan cahaya yang diinginkan oleh masyarakat yang hidup di tengah-tengah ibu kota.

Apa yang mereka inginkan hanyalah sebuah sisi lain yang jarang disebutkan. Tidak mahu suara mereka tenggelam dalam hiruk-pikuk kota dan kehidupan yang serba tergesa-gesa.

Sempena sambutan Hari Wilayah hari ini, Astro AWANI telah menyelami hasrat beberapa individu di sekitar kota batu Kuala Lumpur dan berikut adalah empat perkara yang diinginkan mereka biasa kita gelar 'Ali, Ah Kau dan Ramasamy' .

1) Taman riadah dan istirahat

Malaysia mempunyai kira-kira 28 juta penduduk dan angka ini dijangka akan meningkat kepada 38.5 juta menjelang 2040.

Mengikut laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) le­bih daripada dua pertiga rakyat Malaysia kini tinggal di bandar.

Dengan kepadatan penduduk yang sedia ada, pusat beli-belah bukan lagi menjadi sesuatu yang dialu-alukan di Kuala Lumpur.

Ismail Abdul Hamid, 57 tahun yang juga berkhidmat sebagai penyelia bas Rapid KL di Pasar Seni bercerita mengenai kesesakan keadaan lalu lintas di hadapan pusat beli-belah terutamanya menjelang musim perayaan.

Ismail Abdul Hamid, 57, yang juga berkhidmat sebagai penyelia bas Rapid KL di Pasar Seni bercerita mengenai kesesakkan keadaan lalu lintas di hadapan pusat beli-belah terutamanya menjelang musim perayaan.
“Ini sebenarnya memberi tekanan kepada pemandu bas apabila perjalanan yang sepatutnya hanya satu jam boleh menjangkau sehingga tiga jam.”

“Oleh sebab itu, saya tidak rasa Kuala Lumpur memerlukan lebih banyak pusat membeli-belah. Kita sebenarnya memerlukan lebih banyak tempat untuk masyarakat berkumpul dan beriadah. Sekarang banyak taman-taman dihapuskan untuk dijadikan kawasan perumahan,' jelasnya.


2) Ruang selesa untuk meneruskan perniagaan

Masyarakat bergelut dalam peningkatan kos sara hidup, kata T.Thanabalan, 47 tahun.

Katanya, dia hanya menginginkan sebuah gerai jualan yang selesa untuknya meneruskan perniagaan menjual kalungan bunga di Jalan Masjid India.

Masyarakat bergelut dalam peningkatan kos sara hidup, kata T.Thanabalan, 47.
“Kalau dulu boleh saya masih boleh dapat RM100 sehari atau RM150, namun sekarang sebab persaingan sengit menyebabkan kadang RM10 pun susah nak dapat.”

Dia menjelaskan bahawa harga pasaran bunga oleh pengeluar juga turut meningkat. Ini disebabkan oleh kawasan tanaman bunga yang semakin berkurangan dek pembangunan yang tidak terurus.


3) Keharmonian dalam rakyat berbilang kaum

Lain pula bagi Ah Huat, 60 tahun yang bekerja sebagai peruncit kecil-kecilan di sebuah kedai kecil berusia hampir 100 tahun dekat Jalan Petaling. Dia berharap semoga perpaduan rakyat berbilang kaum yang semakin meruncing hari ini dapat kembali dieratkan.

Ah Huat, 60, berharap semoga perpaduan rakyat berbilang kaum yang semakin meruncing hari ini dapat kembali dieratkan.
“Jika dahulu bangsa Cina, Melayu dan India sama-sama berborak di satu kedai kopi. Namun perkara itu kelihatan sangat ganjil pada zaman kini. ”

Perkara yang sama juga turut ditegaskan oleh S. Arokiasamy, 55 tahun.

“Apa yang kita mahukan adalah hidup senang hati sesama kita. Kita mestilah menghormati perbezaan termasuklah agama dan kepercayaan. Jangan bermain sentimen agama yang sensitif sehingga menyebabkan kita bergaduh,” tambahnya.


4) Zaman kanak-kanak yang lebih ceria untuk anak kota

Walaupun Jalan Chow Kit di ibu negara adalah sebuah pusat perniagaan namun masyarakat yang tinggal di kawasan tersebut tidak hidup selesa kesan daripada pembangunan yang tidak seimbang.

Maka Siti Rahayu Baharin, 37 tahun yang merupakan pengasas kepada Buku Jalanan Chow menginginkan anak-anak muridnya di Chow Kit memiliki sebuah zaman kanak-kanak yang bahagia walaupun hidup dalam kemiskinan.

“Kebanyakkan ibu-bapa kepada anak-anak murid saya di Chow Kit bekerja di pasar berdekatan. Namun upah yang mereka perolehi tidak mampu menampung sewa bilik di Chow Kit yang berharga RM300 atau kira-kira RM20 ringgit sehari.

“Perkara ini yang menyebabkan anak-anak itu terpinggir terutamanya dari segi pendidikan dan kehidupan normal sebagai kanak-kanak,” jelasnya.

Ternyata hasrat mereka tidak kompleks, namun cukup adil untuk dijadikan inspirasi buat generasi di masa hadapan.