KAJIAN sekumpulan penyelidik dari Universiti Standford, Amerika Syarikat meramalkan 40 juta orang yang menghidap diabetes di seluruh dunia tidak akan mendapat bekalan insulin menjelang tahun 2030.

Data Persekutuan Diabetes Antarabangsa menunjukkan, pesakit diabetes jenis 2 akan meningkat daripada 406 juta orang pada 2018 kepada 511 juta orang pada 2030.

Daripada 511 juta orang itu, 79 juta memerlukan rawatan insulin dan yang menyedihkan, hanya 38 juta orang sahaja yang mendapat akses untuk insulin.

Menurut ketua penyelidikan Dr Sanjay Gupta, kes diabetes jenis 2 meningkat untuk 12 tahun mendatang kerana faktor penuaan, urbanisasi dan perubahan gaya pemakanan dan aktiviti fizikal.

Usaha menyeluruh perlu dilakukan khususnya di kalangan pembuat dasar bagi memastikan kebanyakan pesakit diabetes yang tinggal di Asia dan Afrika mendapat bekalan insulin yang mampu dimiliki.

BAGAIMANA KITA DI MALAYSIA?

Malaysia mempunyai kadar penghidap kencing manis antara yang tertinggi di Asia dengan anggaran 3.6 juta orang. Angka ini dijangka meningkat kepada 4.5 juta menjelang 2020.

Lebih membimbangkan, bilangan penghidap diabetes yang berusia antara 18 dan 35 tahun meningkat sebanyak 300 peratus sejak 15 tahun lalu.

BACA: Malaysia mempunyai kadar diabetes tertinggi di Asia

Menurut Pengerusi Eksekutif Institut Diabetes Kebangsaan (NADI), Datuk Dr Mustaffa Embong, hampir separuh daripada rakyat Malaysia tidak sedar mereka menghidap diabetes.


Kebanyakan diabetes Jenis 2 langsung tidak menunjukkan sebarang gejala, sehingga anda terkena serangan jantung, strok, buah pinggang bermasalah, menjadi buta dan terpaksa dilakukan amputasi.

Kementerian Kesihatan menyarankan masyarakat mengambil langkah awal untuk mendiagnosis diabetes dan mencegah sebagai cara terbaik untuk mengurangkan bilangan penghidap diabetes dalam negara.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mengadakan inisiatif bagi memastikan kesedaran mengenai penyakit ini meningkat.