Pembahagian cukai pelancongan 50-50 antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri dijangka dapat membantu sektor pelancongan negeri lebih bergiat pesat, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, saluran terus cukai sebanyak RM5 itu kepada kerajaan negeri adalah wajar kerana mereka lebih mengetahui apa yang perlu dilakukan bagi memajukan sektor pelancongan masing-masing.

“Jika saya (kementerian) memegang kesemua cukai RM10 itu, ia mungkin akan mengambil sedikit masa untuk disalurkan kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (Mou) antara Seni Teknologi Sdn Bhd dan KDU University College Sdn Bhd.

Sebelum ini, media melaporkan Kerajaan akan meningkatkan bayaran balik cukai pelancongan daripada RM1 kepada RM5 bagi setiap RM10 yang dikutip daripada pelancong asing kepada kerajaan negeri.

Nazri berkata pembayaran semula cukai itu akan dibuat secara saksama berdasarkan peratusan cukai pelancongan yang dikutip di setiap negeri.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri berkata beliau sedia maklum tidak semua negeri bakal menikmati jumlah kutipan cukai pelancongan yang sama kerana faktor saiz serta produk pelancongan yang berbeza.

Atas sebab itu, katanya lagi, baki 50% yang diterima kerajaan persekutuan akan turut disalurkan bagi membantu negeri-negeri ini turut berkembang dalam sektor pelancongan.

Selain itu, katanya lagi, kutipan itu akan turut digunakan untuk acara-acara pelancongan kebangsaan serta usaha mempromosikan lagi pelancongan negara di mata dunia.