ADAKAH anda mempunyai impian untuk memiliki kereta James Bond yang dilengkapi dengan pelbagai gajet khas?

Ini peluang anda!

Memetik laporan APTN, kereta yang pernah muncul dalam siri James Bond itu akan dilelong pada pertengahan Ogos ini.

Rumah lelongan Sotheby menjangkakan kereta Aston Martin DB5 itu akan dijual pada harga AS$4 juta (RM16.48 juta) hingga AS$6 juta (RM24.63 juta).

Menurut pakar kereta RM Sotheby, Barney Ruprecht, kenderaan tersebut berada dalam keadaan elok dan berfungsi dengan baik.




“Aston Martin DB5 ini merupakan kereta pertama yang terkenal dengan ciri dan gajet khas ini merupakan produk hasil kerjasama syarikat pengeluar kereta Aston Martin dan francais James Bond.

“Sebanyak empat kereta telah direka untuk filem tersebut dan hanya tiga yang masih berfungsi serta berada dalam keadaan yang mampu dipandu sehingga hari ini.

“Kereta ini dilengkapkan dengan gajet khas yang masih berfungsi seperti asal dan berada dalam keadaan elok,” katanya.


Kereta berwarna kelabu itu dilengkapkan dengan 13 gajet termasuk alat penyembur paku, mesingan dan paparan nombor plat yang boleh diubah.

Ciri-ciri ini akan mengingatkan peminat James Bond kepada faksi cemas dalam adegan filem Goldfinger dan Thunderball.

Sebelum ini, pelakon Hollywood Daniel Craig, yang membintangi watak perisik terunggul itu melelong sebuah Aston Martin edisi terhad yang dihasilkan khas buatnya pada 2018.

Kereta tersebut berjaya dijual pada AS$468,500 (RM1.9 juta) dan hasil lelongan itu disalurkan kepada organisasi kebajikan, The Opportunity Network.

The Opportunity Network merupakan organisasi yang memberi peluang kepada pelajar daripada golongan kurang berkemampuan untuk mengejar impian mereka dalam pendidikan dan kerjaya.