Sebuah aplikasi terbaharu di pasaran dicipta untuk memudahkan orang ramai berhubung dengan penyedia perkhidmatan seterusnya menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan.

Biarpun baru sebulan di pasaran, aplikasi dibangunkan anak Sarawak ini bersedia untuk beri saingan dan menyedia perkhidmatan terbaik untuk orang ramai.

Gago Instant Job, mengumpulkan penggiat industri dalam pelbagai sektor menerusi satu platform.

Menurut Pengarah Urusannya, Kamarul Zaman Rasdi, aplikasi ini bukan sahaja memudahkan urusan seharian pengguna malah memberi peluang kepada usahawan atau penyedia perkhidmatan tempatan untuk menjana pendapatan yang lebih.

“Ini akan memudahkan pihak komuniti di luar sana yang mempunyai kemahiran, perkhidmatan yang ingin menawarkan perkhidmatan mereka bolehlah menggunakan servis tersebut dan berdaftar sebagai pembekal perkhidmatan.”


Cara penggunaannya mudah, pengguna hanya perlu muat turun aplikasi Gago menerusi Google Play Store dan App Store seterusnya mendaftar dan pilih perkhidmatan yang anda inginkan.

Setakat ini terdapat 22 perkhidmatan disediakan antaranya khidmat mencuci kenderaan, menggunting rambut dan mengemas rumah.

Bukan sekadar pengguna boleh memilih perkhidmatan yang diinginkan, malah turut berpeluang memiliki mata ganjaran dengan hanya menggunakan aplikasi ini.

Bagaimanapun Gago Instant Job ketika ini hanya boleh digunakan di Kuching dan akan terus diperluas di beberapa daerah lain di seluruh Sarawak dan Semenanjung Malaysia.