“Poi pokan naik basika
Tongah haghi tongah paneh
Apo dayo motong gotah
Apo nak dikato
Kalau boleh nak jadi cikgu sekolah
Kek Kolo Pilah”


LAGU lagenda 'Apo Nak Dikato' nyanyian kumpulan Blues Gang ini masih segar di ingatan meskipun ia berusia lebih 30 tahun dulu.

Bait-bait lirik yang ditulis vokalisnya, Ito Mohd, menggambarkan beberapa pekan di Negeri Sembilan, membuatkan pendengar mahu terus ke negeri itu bagi melihat sendiri keadaan seperti yang dinyanyikan.

Mengakui hal itu, Ito atau nama sebenarnya Mohd Arif Kendut, berkata, lagu itu bukan sahaja berkaitan Negeri Sembilan semata-mata, malah ia adalah Malaysia yang harmoni.

“Sebenarnya saya tulis lagu itu, saya gambarkan kampung. Ia bukan hanya Negeri Sembilan, ia menggambarkan keseluruhan Malaysia.

"Tinggal lagi, idea nak buat dialek. Saya masukkan dialek yang saya tahu, Negeri Sembilan, bahasa ibunda saya. Jadi, lagu itu dalam dialek Negeri Sembilan,” ujarnya.



Menceritakan sejarah lagu itu, kata Ito, 67 tahun, ia ditulis di Australia, ketika Blues Gang mengadakan persembahan di negara itu.

Lebih menarik, lagu itu diilhamkan ketika dalam perjalanan menaiki bas sambil melayan rasa rindu terhadap kampung halaman.

“Apo Nak Dikato ini saya rekod tahun 1982. Memasuki pasaran tahun 1983. Saya dapat lagu ni ketika Blues Gang berada di Australia, buat persembahan di sana dan duduk di sana selama tiga bulan.


Kata Ito, 'Apo Nak Di Kato' ditulis di Australia, ketika Blues Gang mengadakan persembahan di negara itu.

"Dalam perjalanan balik, dapat ilham. Ketika itu, kami sedang naik bas dari Melbourne ke Perth,” ceritanya.

Beliau juga tidak menyangka, Apo Nak Dikato ‘meletop’ dan masih meniti di bibir sehingga kini.

Tambahnya, genre lagu blues juga memainkan peranan kerana irama itu sentiasa menggambarkan ketenangan dan kedamaian yang sentiasa dekat di hati pendengar.

Lirik lagu Apo Nak Dikato ada menyebut, "kalau boleh nak jadi cikgu sekolah di Kuala Pilah." Kenapa agaknya? Apa yang mungkin membuatkan cikgu sekolah di Kuala Pilah ini terkenal?

Wakil Astro AWANI akan berada di Kuala Pilah minggu ini dan meninjau apa sebenarnya yang ada di Kuala Pilah.

Mungkin lagu Ito tersebut boleh dikaitkan dengan keadaan di Kuala Pilah ketika ini yang mempunyai pelbagai sekolah dan institut pengajian tinggi.

Ia termasuk yang ternama seperti Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar (SMS Tuanku Jaafar), sekolah sukan negeri Sekolah Menengah Kebangsaan Za’ba (SSNS SMK Za’ba), SMK Tuanku Muhammad, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) dan Negeri Sembilan Foundation Institute of Technology.


SMK Za'ba di Kuala Pilah dibuka pada 1962, diambil nama sempena Pendita Za'ba. Foto ihsan SSNS SMK Za'ba.
Dengan wujudnya banyak sekolah dan pusat pengajian di Kuala Pilah ini, ia mungkin berpotensi untuk diangkat sebagai sebuah hub pendidikan.

Bagi netizen, apabila menyebut Kuala Pilah, memang ada yang gemar mengaitkannya dengan lirik lagu Ito tersebut.
Selain terdapat jambatan kedua tertinggi di Malaysia pada ketinggian 48m di Jalan Bukit Putus, dalam perjalanan ke Kuala Pilah, seperkara lagi yang menarik di pekan ini ialah emas yang dikatakan dijual pada harga murah.





Selain itu, ramai juga yang berkongsi tempat makan menarik di Kuala Pilah serta juadah istimewanya seperti berbagai jenis daging salai dan juadah yang dibalut dalam daun rambai, kuih apam johol.