Kumpulan media terkemuka, Astro Malaysia Holdings Bhd hari ini melancarkan saluran terbaharu yang mengkhusus kepada siaran sukan elektronik (eSports) 24 jam sehari.

Saluran Every Good Game (eGG) merupakan saluran eSports pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang menyajikan siaran kejohanan sukan elektronik terkemuka seperti League of Legends, Defence of The Ancient 2 (Dota 2), Counter Strike: Global Offensive, Hearthstone, Heroes of the Storm, StarCraft II.

Menurut Naib Presiden Kumpulan Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay, e-Sports merupakan satu fenomena global yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi masa kini, dan dijangka mencapai lebih 218 juta penonton di seluruh dunia menjelang akhir tahun 2016.

"Kami percaya dengan saluran e-Sport 24 jam sehari ini mampu memainkan peranan penting dalam menghubungkan peminat-peminat e-Sports di negara-negara Asia Tenggara.

"eGG juga merancang menjalinkan kerjasama dengan penganjur utama permainan video untuk menyiarkan secara langsung kejohanan dunia menerusi Astro.

"Kandungan On Demand akan menampilkan tatacara permainan, panduan daripada pemain profesional dan juga sorotan mingguan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Astro sebelum ini menjadi negara Asia Tenggara pertama menyiarkan secara langsung kejohanan terkemuka Dota 2, iaitu The International 5 (Ti5), pada tahun lalu.

Siaran Ti5 sangat popular dalam kalangan penonton muda, sekali gus menggalakkan Astro untuk menyiarkan lebih banyak kejohanan eSports bagi mencapai jutaan penonton di luar sana.

Menurut Lee, Astro percaya siaran eSports wajar ditonton pada skrin yang lebih besar agar peminat dapat menikmati acara kegemaran mereka dalam siaran definisi tinggi (HD) seperti menonton siaran langsung perlawanan bola sepak.

Saluran Every Good Game (eGG) dapat ditonton menerusi Astro dan Astro on the Go di saluran 808 bermula Jun ini.