Kelazatan ayam madu tempayan yang diusahakan oleh Abang Zulfakar Abang Ahmad berjaya menambat hati penduduk di sekitar Sibu yang tidak putus-putus melakukan tempahan dengannya.

Menurut Abang Zulfakar yang telah berkecimpung sebagai usahawan kecil sejak sekian lama, inspirasi ayam madu tempayan ini merupakan inspirasi dari kunjungannya ke Thailand sebelum ini.

Jelas beliau ketika ditemu bual Astro AWANI, ayam panggang tersebut mempunyai rasa yang cukup enak kerana disediakan dengan ramuan istimewa iaitu dengan gabungan madu dan gula apong.

Beliau memberitahu, kedua-dua bahan tersebut dilumurkan ke atas ayam yang dijual selain diperap dengan sos istimewa.

“Ayam dimasak dalam masa satu jam dan kemudian dari segi penjagaan bara api ianya tidak rumit,” katanya.

Tambahnya lagi, proses tersebut akan menaikkan tekstur dan aroma ayam yang memikat selera.



Selain itu, Abang Zulkfakar melihat kesukaran yang dihadapi peniaga ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai ‘pintu rezeki’ buatnya menjana tempahan.

Ini kerana, dia dan rakan peniaga lain memanfaatkan penggunaan platform digital seperti Whatsapp dan Facebook bagi memudahkan urusan jual beli selain ianya lebih efisyen buat pelanggan.

“Jadi kita telah melakukan sedikit perubahan dari segi penjualan di mana prosedurnya dilakukan secara atas talian,” katanya.

Ujar beliau, sambutan bagi perniagaannya sangat memberansangkan sehinggakan tempahan perlu dilakukan dengan lebih awal kerana ayam madu tempayan yang dijualnya cepat habis.