Tutup

Ayam rendang 'crispy': Minta maaf sajalah, jangan ego - Chef Wan

Ayam rendang 'crispy': Minta maaf sajalah, jangan ego - Chef Wan
Dalam temuramah bersama BBC World, Chef Wan minta dua juri MasterChef UK mohon maaf kepada Zaleha atas penilaian mereka yang tidak tepat.
CHEF terkenal, Datuk Chef Wan, menyarankan agar dua juri rancangan masakan, MasterChef UK, John Torode dan Gregg Wallace, agar tidak ego dan meminta maaf kepada peserta rancangan itu, Zaleha Kadir Olpin, atas kesilapan mereka memberi penilaian ke atas rendang ayam yang dimasak Zaleha.

Dalam satu kemaskini di akaun Instagram, Chef Wan atau nama sebenarnya Datuk Redzuawan Ismail memaklumkan, beliau dihubungi saluran BBC World yang meminta pendapatnya berhubung isu berkenaan.
"Jelas, dua badut ini memang tidak tahu apa-apa tentang penyediaan juadah Malaysia.

"Saya beritahu mereka, bukan semua juri tahu selok belok semua jenis juadah di dunia.
"Sudah buat salah, minta maaf sajalah. Jumpa Puan Zaleha dan minta maaf kerana memberi penilaian yang tidak tepat berhubung juadahnya," tulis Chef Wan.



Beliau juga mengkritik tindakan Torode yang tidak segan silu bersikap sarkastik berhubung reaksi rakyat Malaysia terhadap komennya.

BACA: 'Mak cik dan pak cik bawang' Nusantara bersatu, laman YouTube MasterChef UK dipadam

BACA: Gara-gara 'ayam rendang tidak rangup', netizen serang YouTube MasterChef

Sikap itu ditunjukkan Torode menerusi satu tweet yang dimuat naik pada Isnin.

"Saya tak boleh terima sikap begini. Sebagai seorang chef yang pernah melawat Malaysia dan melihat bagaimana rendang dibuat, saya terkejut dia tidak faham mengapa kita semua mengkritiknya.

"Anda bukan sahaja tidak sensitif, malah sikap ini satu penghinaan!" tulis Chef Wan dalam satu status berbeza.


Chef Wan bukan satu-satunya personaliti yang bersuara berhubung isu ini. Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman antara yang turut mengikuti perkembangan ini.

"Terasa geli hati apabila orang asing cuba untuk mengajar rakyat Malaysia tentang makanan tradisional mereka sendiri.

"Tahniah Puan Zaleha, anda berjaya menyatukan apa yang ahli politik gagal lakukan, iaitu menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bangsa, agama dan parti politik," tulis beliau dalam status di akaun Facebook rasminya.