Borneo Fashion Week 2019 (BFW 2019) melabuhkan tirai acara selepas tiga hari penganjurannya.

Menerusi acara penutup yang berlangsung pada Ahad, sembilan pereka fesyen tempatan mengambil bahagian termasuk seorang pereka fesyen dari Jepun, Number KMT.

Antara pereka fesyen lain yang terlibat termasuk Indu Borneo, Acqua Bonita, Nasha Prive, Alcantara, Jonathan Yun, Mochael Ooi, DeMlya Pua dan December Teo.

Acara penutup ini berlangsung menerusi dua sesi iaitu sesi petang dan malam.

Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi penganjur apabila hujan lebat mula turun tatlakala acara finale sedang berlangsung.

Namun menurut Pengasas BFW, Stephanie Alcantara biarpun hujan lebat, malam kemuncak BFW 2019 tetap berlangsung dengan jayanya.

“Pasukan kami telah menyediakan pelan alternatif sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan seperti hujan,” ujarnya ketika ditemui Astro AWANI.

Selain pertunjukkan fesyen, enam anugerah utama turut disampaikan kepada pereka fesyen dan model lelaki dan wanita yang memenuhi kriteria utama untuk dipilih sebagai pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan.

Bagi anugerah utama iaitu BFW Designer Of The Year 2019, Keith Sim dari Sarawak dipilih menjuarai kategori tersebut seterusnya melayakkan dirinya untuk memperagakan koleksinya di Madagascar menerusi acara fesyen utama di sana tahun hadapan.

Selain itu, dua lagi pereka fesyen dari Sarawak menjuarai kategori utama iaitu Nasha Prive menerusi kategori BFW Emerging Borneo Designer Of The Year 2019 dan Latip’s Collections menerusi kategori BFW Most Promising Designer 2019.

Menurut Stephanie lagi, beliau berharap agar penganjuran BFW tahun hadapan akan lebih mantap supaya misi dan visi penganjuran iaitu menjadi Sabah dan Sarawak sebagai hab fesyen terulung di Asia Tenggara dapat dicapai.