Tutup

Borneo Fashion Week 2019 buka tirai penganjuran

Borneo Fashion Week 2019 buka tirai penganjuran
BFW 2019 menghimpunkan 22 pereka fesyen dengan tiga tema berbeza iaitu Ready To Wear (RTW), Resort Wear dan Heritage Wear. Astro AWANI/SYAFIK SHUKRI JALIL
KOTA KINABALU: Borneo Fashion Week 2019 (BFW 2019) membuka tirai penganjuran tahun ketiganya di sini pada Jumaat.

Bertemakan Bringing Borneo To The World, BFW 2019 yang menghimpunkan pereka fesyen tempatan termasuk Sabah dan Sarawak, diadakan di Oceanus Waterfront, Kota Kinabalu.

Memulakan acara pertunjukan, lapan pereka fesyen Bidwin Molundim, Asen, Augmenter, Classique by Maya, JK, Daling Borneo, Bobby B Garon dan Yuva, mempersembahkan koleksi masing-masing menerusi dua slot berbeza.

Menerusi kesemua koleksi yang diperagakan, pentas peragaan diserikan dengan pilihan warna-warna terang dan tidak kurang juga warna-warna pastel.
Menurut Pengasas BFW, Stephanie Alcantara, tujuan utama penganjuran acara berprestij ini adalah bagi membolehkan Sabah dan Sarawak menjadi hab fesyen terulung di Malaysia.

Penganjuran ini dilihat bukan sahaja membolehkan keunikan kedua-dua negeri ditonjolkan di peringkat antarabangsa malah menjadi platform untuk pereka tempatan berkarya dan lebih dikenali di masa akan datang.
“Penting untuk acara seperti ini diadakan supaya industri fesyen tempatan lebih terus menyerlah dengan kehadiran lebih ramai pereka fesyen tempatan yang berbakat besar,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.

“Sokongan orang ramai juga penting dalam memastikan acara seperti ini boleh dijayakan dengan lebih baik di masa akan datang.”

Berlangsung selama tiga hari, BFW 2019 menghimpunkan 22 pereka fesyen dengan tiga tema berbeza iaitu Ready To Wear (RTW), Resort Wear dan Heritage Wear.