ADAKALANYA persiapan menjelang hari perkahwinan boleh membuatkan mana-mana pasangan pening kepala.

Tapi tidak pula bagi pasangan ini yang mendapat perhatian netizen gara-gara aksesori persiapan perkahwinan mereka lain daripada yang lain.

Baru-baru ini, tular di laman sosial Twitter, sepasang pasangan pengantin baharu menggunakan sayur brokoli bermanik sebagai jambangan bunga dan mainan Lego sebagai butang baju Melayu.

Gambar yang dimuat naik oleh akaun Twitter @rajanazrin_ yang juga merupakan jurufoto bagi majlis pasangan pengantin itu menjadi bualan netizen kerana mereka memilih pendekatan yang berbeza daripada pasangan pengantin lain.

Menurut pengantin lelaki, Mohamed Nasaruddin Jaafar, 34, dia dan isterinya inginkan kelainan serta mengelakkan pembaziran dalam majlis perkahwinannya.



“Isteri saya inginkan sesuatu yang mempunyai nilai sentimental dan sayur brokoli merupakan makanan pertama yang dia masakkan untuk saya sewaktu awal perkenalan kami.

“Daripada membazir RM100 untuk beli jambangan bunga, kami membuat keputusan untuk memakai brokoli bermanik dan Lego yang berharga RM3.68 semasa majlis akad nikah," kata pengantin lelaki itu.

Tambah Nasaruddin yang merupakan pemilik beberapa syarikat bertujuan kebajikan, mereka berbuat demikian supaya boleh menggunakan lebihan duit mereka untuk tujuan kebajikan.

Pasangan ini juga mahu menyedarkan orang ramai tentang perkara wajib yang perlu dilunaskan dalam perkahwinan dan tidak terlalu terikut dengan adat.

Apabila ditanya kenapa mereka memilih Lego sebagai butang baju, beliau berkata ia merupakan salah satu projek kebajikannya yang ingin mengajar gelandangan membuat kraf butang Lego supaya boleh menjana pendapatan.

Selain itu, mereka mengambil pendekatan untuk membuat kad jemputan kahwin mereka sendiri untuk menjimatkan wang.

Kata Nasruddin, dia tidak menyangka bahawa perkara tersebut akan tular di laman sosial sehingga mendapat banyak perhatian netizen.