Yayasan Warisan Johor (YWJ) meneruskan tradisi sejak sedekad lepas dengan menyediakan bubur lambuk kepada orang ramai termasuk perisa tomyam dan sup tulang gearbox yang jarang dilihat disediakan di tempat lain.

Diketuai bekas Pegawai Sejarah YWJ Kamdi Kamil, penyediaan bubur seminggu sekali itu dimulakan kira-kira 8 pagi tadi oleh 30 staf YWJ Johor sebelum 1,750 bungkus bubur terbabit diedarkan kepada orang ramai mulai 1 petang.

"Tradisi ini merupakan program tahunan YWJ yang sinonim sempena Ramadan di mana ia dimasak seminggu sekali.

"Penyediakan bubur lambuk hari ini melibatkan dua periuk perisa tomyam manakala masing-masing satu periuk perasa kurma, sup tulang gearbox dan beriani," kata Kamdi kepada pemberita di sini hari ini.

Kamdi, 70, berkata resipi bubur lambuk terutama perisa tomyam dan sup tulang gearbox terbabit merupakan olahannya berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun menyediakan juadah terbabit ketika menjadi Pengerusi Masjid Kampung Melayu Majidee, di sini.

Beliau berkata setiap satu periuk bubur lambuk menggunakan 12 kilogram beras hancur dan mampu menghasilkan 350 bungkus bubur lambuk.

Katanya, antara bahan utama menu itu adalah 10 kilogram daging, tulang kambing gear box (20 kilogram), lima ekor ayam dan kerisik.

"Mungkin di tempat lain, jarang kita melihat orang memasak bubur lambuk perisa tomyam. Untuk bubur lambuk tomyam ini, ia turut memerlukan masing-masing dua kilogram udang dan sotong, bunga kantan, daun limau purut dan serai," katanya.

Kamdi berkata lazimnya, bubur lambuk YWJ bukan sahaja dinikmati para penjawat awam negeri ini malah mendapat perhatian keluarga Diraja Johor.

Katanya selain menggunakan peruntukan YWJ Johor, penyediaan bubur tersebut turut menggunakan sumbangan orang ramai dan proses penyediaannya memerlukan masa kira-kira dua jam mengacau selepas beras hancur dimasukkan ke dalam air mendidih. -- BERNAMA